Malaysia Dateline

Undi 18 : Cabaran anak muda

Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur had mengundi dari 21 ke 18 tahun disambut baik semua pihak sehingga diluluskan dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Ia suatu saat yang bersejarah buat rakyat Malaysia. Dalam undian dijalankan hari ini, seramai 211 orang perwakilan yang menyokong pindaan ini. Tiada yang berkecuali dan menolak usul.

Apa apa pun, pindaan telah berjaya dilakukan. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bermula dengan institusi keluarga, guru-guru dan masyarakat yang akan mencorak generasi masa hadapan kelak. Kefahaman mengenai hak mengundi harus diberi fokus secara tuntas. Ini adalah masa terbaik untuk anak muda belajar perihal tanggungjawab, demokrasi dan sistem pemilihan. Kita wajar meyakini dan mempercayai bahawa dunia yang kita diami ini akhirnya akan dipimpin oleh anak-anak muda yang harus dipersiapkan secara holistik.

Pindaan ini hanyalah sekadar pindaan sekiranya kita mengambil mudah dalam memberi penekanan soal tanggungjawab, moral dan empati terhadap anak-anak muda.

Pindaan ini ialah sebuah proses permulaan. Ia adalah langkah awal dalam memberikan pengukuhan kepada kematangan berfikir dan membuat keputusan kepada generasi muda.

Ingat! Kita baru sahaja bermula dengan sebuah pengalaman yang tidak pernah ditempuhi sebelum ini. Kita bakal menempuhi pendaftaran pengudian secara automatik dan kebarangkalian untuk calon berumur 18 tahun juga akan menjadi kenyataan.

Selain itu, strategi kempen oleh parti-parti politik akan punyai perubahan. Demografi politik bakal berubah secara drastik. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus memainkan peranan secara signifikan dalam pelbagai hal bagi memenuhi keperluan anak muda. Isu peluang pekerjaan, biasiswa dan pendidikan.

Tak lupa juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus semak kembali subjek berkaitan dengan pendidikan kewarganegaraan dan sivik dalam silibus sekolah. Meletakkan pembelajaran mengenai Perlembagaan Negara, Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan dan Sistem Pilihanraya.

Barangkali suasana politik kampus bakal menjadi lebih meriah dek kerana keterlibatan mahasiswa yang cakna akan isu politik semasa. Namun, sejauh mana keyakinan kita bahawa anak muda celik politik? Jikalau masih ada lagi individu yang menggunakan taktik dan politik kotor demi meraih undi dan sokongan. Menjaja video seks untuk memburukkan seseorang. Apatah lagi menggunakan dalil-dalil agama dan sentimen perkauman untuk mendapat political milleage.

Politik bukanlah segala-galanya. Fokusnya kita mahu bina negara kembali dengan budaya politik nilai. Ia harus diterapkan sejak usia muda. Maka anak-anak muda ini haruslah sentiasa cakna agar tidak menjadi boneka atau dieksploitasi oleh parti politik tertentu. Sama ada parti kerajaan atau pembangkang. Sia-sia sahaja!

*Penuli adalah aktivis belia Harmoni Pantai Dalam.