Malaysia Dateline

Undi 18: Jangka protes besar-besaran jika kerajaan terus berdiam

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin bertegas tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan protes yang lebih besar sekiranya kerajaan terus berdiam diri terhadap tuntutan mereka berhubung pelaksanaan undi 18.

Beliau berkata, biarpun telah dipanggil oleh pihak berkuasa dan berpotensi untuk didakwa di mahkamah, mereka sama sekali tidak akan memperlahankan langkah dalam menuntut hak undi 18.

“Jika sampai ke satu tahap kerajaan masih terus memekakkan diri dan berkeras untuk tidak mahu laksanakan juga, maka kita tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan protes secara besar-besaran.

“Namun itu semua bergantung kepada respon kerajaan terhadap Undi18 ini,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen

Bagaimanapun Shazni berkata, mereka akan terus mengadakan perbincangan dengan badan-badan bukan kerajaan serta parti politik kerajaan untuk melihat apa lagi pilihan yang boleh digerakkan bersama agar Undi 18 dapat dilaksanakan segera.

Selain itu katanya, mereka juga akan mengadakan perbincangan secara serius dengan pihak Bersih, selaku entiti yang diketahui lantang dalam memperjuangkan hal ehwal ketelusan pilihanraya selama ini.

Pada 27 Mac lalu, satu himpunan untuk menuntut kerajaan melaksanakan undi 18 diadakan di perkarangan Parlimen susulan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang menangguhkan pelaksanaan had kelayakan umur mengundi 18 tahun.

Himpunan aman yang dianjurkan Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 itu disertai lebih 200 anak muda yang kebanyakannya bukan dari kalangan ahli politik, tetapi melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis.

Beberapa Ahli Parlimen dan aktivis juga telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan dilaporkan telah dibuat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad antara lapan individu dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Selain Khalid, turut dipanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin; aktivis Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abdul Hadi; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Sharan serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PSM, K Arveent.

Difahamkan, individu yang akan dipanggil hari ini antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh