Malaysia Dateline

Undi 18: Ketua Pemuda PH dipanggil polis esok

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perhimpunan menuntut kelayakan mengundi 18 tahun (Undi 18) di Jalan Parlimen, 27 Mac lalu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional memberitahu akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi esok bagi siasatan tersebut.

“Saya telah dihubungi oleh anggota daripada Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan diminta hadir untuk penyiasatan bawah Seksyen 111 berhubung Himpunan Tuntut #Undi18Now tempoh hari.

“Justeru, saya akan hadir esok (Selasa) jam 2.30 petang. Rakan-rakan yang berkelapangan boleh bersama-sama,” katanya dalam kenyataan menerusi Twitter sebentar tadi.

Sehari sebelum himpunan dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat tersebut, Shazni dalam satu kenyataan menyeru seluruh anak muda menyertai aksi protes aman di depan Parlimen itu.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Beliau berharap himpunan membantah penangguhan pelaksanaan Undi 18 itu mampu menjadi satu suara kukuh seluruh perkumpulan anak muda untuk berjuang menuntut hak yang cuba digagalkan petualang dan #PNipu iaitu merujuk pada Perikatan Nasionaal (PN).

“Alasan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menangguhkan pelaksanaan #Undi18 amat kita fahami sebagai ‘echo’ sahaja kepada penolakan yang telah disebut oleh Yang Dipertua Dewan Negara dan Menteri Undang-undang sebelum ini.

“Tidak lain sekadar susunan justifikasi tidak logik bagi menafikan hak jutaan anak muda seawal umur 18 tahun untuk mengundi dalam PRU-15,” tegas Shazni lagi.

Susulan protes sekumpulan pemuda dari PH dan badan bukan kerajaan (NGO) di Padang Merbok dan berarak menuju ke Jalan Parlimen itu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan akan memanggil penganjur dan peserta terlibat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis; dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.