Undi 18: Langkah ke hadapan dalam perkembangan demokrasi negara, kata Saifuddin

Undi 18: Langkah ke hadapan dalam perkembangan demokrasi negara, kata Saifuddin

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, merupakan satu langkah ke hadapan dalam perkembangan demokrasi negara.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pindaan tersebut antara lain juga dilihat sebagai langkah untuk negara berada di fasa ketiga demokrasi.

Beliau berkata, fasa pertama demokrasi adalah ketika masyarakat mula-mula mengamalkan demokrasi iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan, manakala fasa kedua adalah apabila institusi-institusi demokrasi dikukuhkan.

“Saya juga berharap agar pindaan ini turut merubah pandangan sarwa dan pendekatan terhadap penghakupayaan anak muda (youth empowerment).

“Definisi penghakupayaan belia adalah anak muda bebas menentukan sendiri keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang berkaitan dirinya, persekitaran dan masa depannya, namun selama ini terdapat kekeliruan, manipulasi dan eksploitasi tentang konsep tersebut.

“Sebagai contoh, apabila perkara yang bertentangan dengan penghakupayaan belia seperti menyalah gunakan kedudukan atau pertubuhan belia untuk perkara-perkara yang tiada kaitan dengan mereka, namun dikatakan semua itu dilakukan atas kapasiti nama belia.

“Justeru, dengan pindaan ini diharapkan konsep penghakupayaan anak muda akan benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq SyeK Abdul Rahman (kanan) mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri kerana menyokong pindaan akta kepada undi 18 tahun di lobi Parlimen i sejurus diluluskan Dewan Rakyat oetang ini.

Susulan pindaan RUU berkenaan, Saifuddin turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Dewan Rakyat yang secara bi-partisan telah meluluskan usul meminda Perlembagaan.

Julung kalinya, RUU bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan diterima tanpa pindaan menerusi undi yang menyaksikan 211 Ahli Parlimen bersetuju, manakala tiada yang membangkang dan tidak mengundi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat

“Ini adalah satu hari dalam sejarah Malaysia, tak pernah berlaku, saya biasa dengan Parlimen agak lama, tapi ini lah kali pertama yang mana satu undang-undang diluluskan dengan semua pihak bersetuju, tidak ada satu pun undi yang menolak,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.