Malaysia Dateline

Undi 18: Langkah tepat bagi mendengar suara anak muda, kata Pengerusi SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, berpendapat penurunan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun adalah bertepatan supaya suara mereka didengar dengan lebih berkesan, selain memberi peluang memilih wakil di Parlimen.

Beliau berkata, penurunan had umur mengundi itu adalah perkara yang amat baik kerana mengambil kira tahap pendidikan, kematangan anak muda yang tinggi dan juga tahap akses kepada pengetahuan yang agak tinggi.

“Dengan adanya rangkaian dan kemudahan internet yang laju dan murah (berbanding negara lain), saya merasakan langkah ini (turun had umur mengundi) adalah bertepatan bagi anak muda.

“Pada pandangan saya, memberi peluang kepada anak muda itu amat penting kerana tunggak sistem demokrasi adalah perwakilan dan asas perwakilan itu ialah pemilihan daripada kita.

“Kita pilih wakil kita dan setiap hari polisi-polisi yang menyentuh kepentingan anak muda dibuat oleh pentadbir, namun golongan muda yang terkesan dengan polisi tersebut tidak mempunyai suara langsung.

“Masalah anak muda umpamanya masalah persekolahan dan buang bayi, tetapi berapa banyak kita tengok kaitan antara pembuat polisi dan pihak anak muda, dan berapa banyak suara anak muda yang kita dengar ketika polisi tersebut dibuat,” katanya ketika menjadi tetamu program rancangan wawancara Selamat Pagi Malaysia RTM 1, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira melihat proses demokrasi berparlimen negara berjalan lancer apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majority dua pertiga Ahli Parlimen.

Dr Mahathir berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

“Ini hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan Parlimen, tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi menolak,” katanya.