Malaysia Dateline

Undi 18: Mahasiswa Harapan desak kerajaan laksana pindaan Artikel 119 (1)

Mahasiswa Harapan(MH) mendesak kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyatakan komitmen tegas bagi melaksanakan pindaan Artikel 119 (1) pada tempoh yang telah diketahui umum iaitu Julai 2021.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan MH turut menyangkal komen Tan Sri Rais Yatim yang mengatakan pindaan mengurangkan had umur mengundi adalah tergesa-gesa dan tidak masuk akal dalam membuat keputusan untuk melayakkan anak muda berusia 18 tahun menjadi pengundi secara automatik.

“Kami menegaskan bahawa pindaan ini telah pun dipersetujui oleh 2/3 Ahli Parlimen termasuk sokongan dari BN dan juga Pas sebelum ini.

” Membenarkan mereka yang berusia 18 tahun untuk mengundi adalah satu langkah ke hadapan dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang matang dalam konteks demokrasi.

” Sepatutnya golongan veteran politik atau ‘warlords’ mengalu-alukan pindaan ini kerana golongan tersebut bakal. menggantikan mereka sebagai pimpinan negara suatu hari nanti,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu MH merasakan anak muda Malaysia berhak untuk memilih kerajaan yang menepati citra mereka sebagai seorang warganegara Malaysia setelah mencapai usia 18 tahun kelak.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan pindaan itu dijangka selewat-lewatnya pada Julai 2021.