Undi 18: NGO, masyarakat perlu bersama APR mendidik 22.7juta pengundi automatik

Undi 18: NGO, masyarakat perlu bersama APR mendidik 22.7juta pengundi automatik
Hasanul Isyraf Naim

Akademi Pilihan Raya (APR) berpendapat peranan NGO dan masyarakat awam amat penting membantu institusi di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, untuk menyebarkan maklumat dan pendidikan berkaitan demokrasi pilihan raya kepada 22.7juta pengundi automatik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Pengarahnya Hasanul Isyraf Naim berkata, ramai pihak menyokong penurunan had mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun, namun kebimbangan kebanyakan masyarakat sama ada usia tersebut berupaya membuat pilihan yang bijak ketika mengundi, perlu diberikan perhatian serius semua pihak.

“Sekiranya had umur mengundi 18 tahun dengan adanya pendaftaran automatik jumlah pengundi meningkat kepada 22.7juta berbanding pada PRU14 sebanyak 14.9 juta, ini satu pertambahan yang ketara.

“Saya juga yakin mereka boleh keluar mengundi tetapi adakah mereka mampu membuat pilihan yang bijak bagi mereka.

“Ia bukan tanggungjawab APR sahaja tetapi NGO dan masyarakat perlu membantu.

“Ini kerana kekuatan APR dengan hanya 30 pegawai, kita cuba memberi pendedahan seramai yang boleh meliputi semua ruang yang kita ada untuk menyampaikan maklumat kepada lebih ramai pengundi terutama kepada pelajar,” ujarnya dalam wawancara bersama Malaysia Dateline baru-baru ini.

Baca: Kefahaman  golongan muda

Beliau menjelaskan melalui APR Associate Trainer (AAT) sejak 2017, APR telah melatih mahasiswa untuk menjadi jurulatih yang akan memberi kesedaran dan pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah mengenai demokrasi pilihan raya manakala APR lebih tertumpu kepada pendidikan pengundi di kalangan mahasiswa di peringkat IPTA.

Dengan pelaksanaan program AAT, APR beralih kepada memberikan latihan kepada NGO dan parti-parti politik dalam menghadapi pilihan raya.

Jelasnya lagi, sekiranya had umur mengundi 18 tahun dilaksanakan APR berpendapat keperluan untuk membuka ruang kepada golongan belia lepasan sekolah yang gagal ke IPTA turut tidak ketinggalan diberikan kesedaran dan pendidikan mengenai demokrasi pilihan raya.

“APR sudah masuk ke universiti awam dan AAT ke sekolah kerana program pendidikan pengundi telah di laksanakan sejak 2017. Sehingga Julai 2019 kita telah mendekati seramai 33,814 mahasiswa. Kita sasarkan sehingga hujung tahun boleh cecah kepada 45,000 mahasiswa.

“Jika ada NGO berminat untuk menyertai AAT kita boleh bekerjasama dari segi penyediaan latihan, program bersama dan mereka modul baru mengikut kesesuaian.

“Kita mahu pendidikan demokrasi dan pilihan raya dibuat diperingkat akar umbi masyarakat meliputi persatuan penduduk, persatuan belia dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Pemimpin politik tidak perlu masuk sekolah

Ditanya sama ada pendidikan demokrasi dan pilihan raya ini mampu mengubah kecenderungan pelajar dan belia membuang undi, Hasanul Isyraf tidak menolak daripada pengalaman APR golongan muda mempunyai pengetahuan dan kesedaran.

Bagaimanapun ujarnya lagi, amat perlu semua pihak terlibat untuk terus memberikan kesedaran secara berterusan dari masa ke semasa sehingga menjelang PRU15.

Namun beliau tidak bersetuju sekiranya pemimpin politik masuk ke sekolah untuk menerangkan pendidikan politik dan pilihan raya.

Sebaliknya tugas itu seharusnya diserahkan kepada APR dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“APR berpendapat ahli politik tidak perlu masuk sekolah kerana ia akan menimbulkan keraguan dan perbalahan antara parti politik.

“Jika tujuan mereka masuk sekolah untuk mendidik demokrasi dan pilihan raya, sedangkan itu telahpun dilaksanakan oleh APR. Kami tidak cerita sama ada parti itu bagus atau parti ini tidak bagus.

“APR ajar pelajar bagaimana untuk memilih seorang pemimpin yang bagus.Sama ada mereka nak pilih parti mana itu terpulang kepada mereka.

“Pemimpin politik boleh bekerjasama dengan NGO untuk mendekati golongan belia yang tidak berada di dalam institusi pendidikan.

“Ini kerana golongan muda hari ini, terlalu bergantung kepada sosial media, itu masalah yang akan  kita hadapi bersama. Bila mereka percaya kepada perkara yang tidak benar, akan timbul kebimbangan  sejauh mana kemampuan mereka ketika membuat pilihan membuang undi.

“Usia lingkungan 18 sehingga 21 tahun adalah golongan yang fregile. Semua pihak ada peluang yang sama rata (parti politik) untuk meraih undi golongan muda dan mereka (golongan muda) boleh mengubah keputusan bila-bila masa di hari mengundi,” ujarnya.

Baca: Gejala youth populism

Beliau turut tidak menolak akan berlaku kecenderungan kepada gejala ‘youth populism’ dikalangan pengundi muda, apabila pemimpin parti politik akan mengambil kesempatan untuk menarik undi belia dengan tawaran-tawaran yang bersifat material semata-mata.

Begitu juga dengan pandangan mengenai mengenakan denda bagi mereka yang tidak keluar mengundi. Hasanul Isyraf menegaskan, mengundi adalah hak individu dalam sebuah negara demokrasi walaupun kerajaan dan SPR mahu mereka keluar mengundi.

“Dalam modul APR kita ada menyentuh mengenai ‘nilai satu undi’ yang mana kita mahu mereka faham peri pentingnya satu undi dalam pilihan raya.

“Untuk menarik minat  golongan belia  keluar mengundi  daripada maklumbalas yang kami perolehi ialah perlunya sesuatu ‘trending’ sehingga ke satu tahap golongan muda malu untuk tidak keluar mengundi.

“Fungsi ini bukan sahaja kepada APR dan SPR. Ia perlukan kerjasama dengan celebriti, tokoh dan individu tertentu yang mempunyai pengikut tersendiri untuk dijadikan trending di media sosial.

“Kita mendidik mereka untuk membuat pilihan sendiri bukan kerana mengikut pilihan orang lain,” ujarnya yang memberitahu APR telah menerbitkan sebuah klip video pengenalan mengenai kepentingan mendaftar undi yang dilakonkan dikalangan pemimpin politik muda dan menerusi MySPR Daftar secara online bagi memudahkan proses daftar undi.

Terkini SPR dan KPM juga dalam satu kenyataan bersama Jumaat lepas, memaklumkan akan memperkenalkan ‘QR Code’ dalam buku teks sekolah bertujuan memudahkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya tanpa perlu pindaan buku teks.

Selain itu SPR dan KPM juga akan menganjurkan program ‘Pendidikan Sivik- Road To School’ melibatkan 2,436 sekolah menengah yang melibatkan pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 6 seluruh negara pada 2020.

Baca: Kelebihan kepada PH dan pembangkang