Undi 18: RUU diluluskan dengan majoriti dua pertiga, sejarah baharu Malaysia

Undi 18: RUU diluluskan dengan majoriti dua pertiga, sejarah baharu Malaysia

Undi 18: RUU diluluskan dengan majoriti dua pertiga, sejarah baharu Malaysia

Julung kalinya, Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat

“Ini adalah satu hari dalam sejarah Malaysia, tak pernah berlaku, saya biasa dengan Parlimen agak lama, tapi ini lah kali pertama yang mana satu undang-undang diluluskan dengan semua pihak bersetuju, tidak ada satu pun undi yang menolak.

“Ini merupakan satu era baharu yang mana parti lawan pun nampak kebaikan mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan.

“Memang lah ada yang berkata kenapa tidak dibuat dahulu, di zaman saya menjadi menteri, saya pun tak teringat nak turunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Sebelum dari saya ambil alih pentadbiran ini, ia jugak tidak berlaku, tetapi kali ini ianya berlaku dengan sokongan daripada semua, tiada satu pun yang menolak,” katanya pada sidang media selepas menggulung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Yang turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan diterima tanpa pindaan menerusi undi yang menyaksikan 211 Ahli Parlimen bersetuju, manakala tiada yang membangkang dan tidak mengundi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada blok pembangkang yang menunaikan janji untuk menyokong RUU berkenaan.

“Kita terima kasihlah kepada mereka tunaikan janji. Tidak seperti kali pertama kita nak waktu tiga wilayah (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan pindaan RUU Perlembagaan hari ini sebagai tanda kemenangan kepada semua parti sama ada PH, BN, PAS atau Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Apabila kerajaan tidak ada majoriti dua pertiga tetapi tetap dapat satu padukan semua parti demi anak muda, kemenangan ini tidak berpihak kepada PH, BN atau Pas atau GPS tetapi kemenangan milik anak muda.

“Mereka mahu suara didengari bergema di Parlimen dan luar Parlimen supaya semua pihak ambil pandangan mereka dengan lebih serius dan perjuangkan masalah mereka dengan lebih serius,” katanya.