Undi 18: Sejauhmana kesediaan, kefahaman golongan muda?

Undi 18:  Sejauhmana kesediaan, kefahaman golongan  muda?

Pengumuman menurunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 ke 18 tahun bakal membolehkan anak muda Malaysia khususnya para pelajar lepasan sekolah dan Mahasiswa melibatkan diri secara terus dalam politik negara.

Baru-baru ini, Malaysia Dateline melakukan tinjauan tentang kesediaan anak muda menjadi pengundi dan sejauh mana kesanggupan mereka menggalas tanggungjawab besar menentukan hala tuju negara.

Rata-rata pelajar sekolah yang ditemui, menunjukkan sikap bersemangat untuk mengundi yang didorong semangat pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang lalu.

(kiri) Norkhallilah Sofia dan  (kanan) Ayu Rosalinda

Nurkhalilah Sofia, 16, menyatakan keyakinan bersedia menjadi pengundi dan seorang wakil rakyat.

“Jika berpeluang menjadi wakil rakyat termuda, saya mahu bertanding. Saya nak bantu rakyat yang miskin dan tidak mendapat pembelaan atau bantuan dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Begitu juga dengan Ayu Rosalinda, 16, yang tekad untuk menjadikan peluang mengundi lebih awal sebagai ruang menempatkan diri menjadi seorang pemimpin.

Tidak dinafikan, kesemua pelajar sekolah yang ditemui sedia maklum tentang had umur mengundi yang telah diturunkan, namun majoriti daripadanya menolak peluang untuk menjadi pemimpin.

Bagi mereka, memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat dianggap sebagai membebankan dan mereka merasakan tidak mampu menangani pelbagai suara dan ketidakpuasan hati masyarakat.

Tonton video: Di sini

Mahasiswa tak setuju?

Semangat pelajar sekolah yang ingin menjadi sebahagian dari pembuat keputusan ini dilihat sebaliknya oleh mahasiswa yang memandang berat dengan pelaksanaan undi seawal usia 18 tahun.

Bagi Shamil Abdul Rahim, 20, memberi kuasa kepada anak muda untuk mengundi dikhuatiri akan menjejaskan negara dengan lingkungan pengetahuan yang tidak menyeluruh tentang politik dalam negara.

Katanya, pelajar seharusnya diberi penekanan dengan pendedahan subjek ekonomi sebelum kerajaan bertindak memberi batu loncatan kepada lepasan sekolah untuk mengemudi negara.

“Pengetahuan mereka tidak mendalam sehingga ke dasarnya. Paling kuat pun, mereka tahu tentang ‘base’ politik dan ekonomi kita. Paling saya risau, anak muda sekarang cenderung mengikuti apa yang dipilih rakan-rakan mereka.

“Saya sebagai anak muda juga takut untuk mengundi dan membuat pilihan. Bimbang keputusan kami kelak akan memberi kesan buruk kepada perjalanan negara,” katanya.

Ia turut diakui oleh Nivyahtarsini Appa Rao, 22, yang menyatakan kelayakan umur 18 tahun untuk mengundi berada di paras 50/50 biarpun dikatakan mencapai usia matang.

“Mereka belum mencapai kematangan sepenuhnya untuk memahami politik negara. Lihat sendiri sekarang umur mereka banyak terlibat dengan perkara tak berfaedah.

“Walaupun umur mereka dah boleh buat keputusan sendiri, tapi bagi saya ianya 50/50. Belum masanya untuk mereka mengundi,” katanya.

BacaBeri kelebihan PH dan pembangkang

Persoalannya sampai bila?

(kiri) Nivyahtarsini Appa Rao dan (kanan) Nabila Abdul Aziz

Berbeza dengan pandangan Nabila Abdul Aziz, 20, yang menyifatkan, menidakkan hak 18 tahun untuk mengundi hanya membantutkan kemampuan anak muda untuk membuat keputusan.

“Lambat laun, pelajar lepasan sekolah perlu juga buat keputusan dalam hidup dia. Kalau idtak beri kepercayaan membuat pilihan untuk negara, mereka akan berada di tahap itu sahaja. Tidak akan sampai tahap belia yang boleh berfikir dengan kritis.

“Dan, kalau undi mereka akhirnya beri kesan lebih buruk kepada Malaysia, maknanya ini salah kerajaan. Kerajaan tak ‘educate’ anak muda dengan baik. Tiada modul pembelajaran yang betul-betul rapi untuk anak muda yang jenis lalai dan tidak ambil peduli dengan keadaan negara,”ujarnya.

Dengan saranan beberapa pihak yang menyeru kerajaan menyediakan subjek politik kenegaraan, realitinya adakah itu mencukupi sebagai pendedahan kepada anak muda terutama golongan yang tidak tertarik dengan ekonomi negara dan keadaan semasa.

Sebelum ini, TV3 pernah mengadakan satu cabaran Merdeka Challenge yang mengejutkan netizen apabila soalan-soalan yang ditanyakan tidak dapat dijawab dengan baik.

Nama seorang artis cilik, Ben Ladin, 18, ketika itu menjadi tular kerana tidak dapat menjawab dengan baik soalan yang dikemukakan mengenai negara terutama berkenaan bunga kebangsaan, Rukun Negara dan bucu bintang dalam bendera Malaysia.

Keadaan ini jelas memperlihatkan satu inisiatif diperlukan untuk memastikan pelajar memahami konsep negara melalui pendedahan mudah seperti Rukun Negara, bilangan bucu bintang, jenis bendera setiap negara.

Terkini termasuklah pendedahan tentang politik demokrasi untuk melihat golongan remaja dan belia menjadi pengundi dan membuat pilihan betul terhadap kepimpinan negara masa depan.

Tonton video: Di sini