Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Undi 18: Senator yang tidak hadir sewaktu pengundian perlu buat penjelasan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kesemua 20 orang Senator yang tidak hadir pada sesi pengundian Pindaan Perlembagaan yang bersejarah bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Khamis lalu perlu membuat penjelasan.

Kata beliau, mereka perlu membuat penjelasan mengenai ketidakhadiran mereka, memohon maaf sekiranya bercuti tanpa alasan yang munasabah, atau meletak jawatan daripada Senat.

“Penurunan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, berkemunginan merupakan sumbangan pertama yang penting buat negara oleh barisan Senator yang ada sekarang,” kata Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu dalam blognya hari ini.

Sehubungan itu tegasnya, mereka yang tidak hadir tanpa alasan yang munasabah mesti meminta maaf kerana gagal menunaikan tugas mereka, atau mereka meletak jawatan sahaja.

Khamis lalu Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua per tiga.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.