Undi 18 tahun: BN anggap anak muda sokong mereka, kata Khalid

Undi 18 tahun: BN anggap anak muda sokong mereka, kata Khalid

BN menganggap anak muda mesti menyebelahi oposisi sehingga mereka turut menyokong pindaan had umur mengundi kepada 18 tahun, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Menurutnya, parti yang memegang tampuk kerajaan Persekutuan selama 60 tahun itu menganggap anak muda mesti menyokong pembangkang.

“Itulah sebabnya mereka memerintah selama 60 tahun tetapi tidak pernah memberi peluang kepada yang 18 tahun untuk mengundi kerana dia (Umno) menganggap yang muda ini cenderung menyokong pembangkang.

“Ketika dia dulu kerajaan, tidak terlintas hendak lakukan pindaan ini walaupun mereka mendapat majoriti dua pertiga sebelum 2008.

“Mengapa sejak tahun 1959 sehingga 2008, mereka tidak benarkan orang yang berusia 18 tahun untuk keluar mengundi kerana ketika itu mereka kerajaan. Sekarang ini mereka pembangkang.

“Apabila mereka pembangkang, mereka anggap golongan muda ini akan sokong mereka tapi PH yakin anak muda berusia 18 tahun sekali pun mampu untuk menilai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 29) bertajuk, “18 Tahun Sudah Boleh Mengundi! Kenapa BN Sokong?” di saluran Jom Channel FB Live baru-baru ini.

Mengakui wujud cabaran kepada PH ekoran pindaan had umur mengundi kepada 18 tahun, Khalid mengingatkan kerajaan tidak harus gagal bekerja untuk rakyat.

“Apabila kita membenarkan mereka (18 tahun) mengundi, kita telah meletakkan diri pada kedudukan yang mencabar.

“Kita mesti menunjukkan prestasi baik untuk dapatkan sokongan daripada mereka. Kita pinda umur itu kerana kita menghormati hak mereka.

“Kita berpegang pada prinsip apa yang telah kita janjikan dalam manifesto,” tambah Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.