Malaysia Dateline

Undi 18: Terlalu banyak kekurangan jika bergantung pada syarat umur, kata Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya bahawa hanya mereka yang matang sepatutnya mengundi dalam pilihanraya.

Beliau berkata, pendidikan politik dan syarat-syarat kelayakan mengundi hendaklah digabungkan dengan had umur sebagai satu cara yang bijaksana, matang dan sejahtera.

Katanya, syarat yang menetapkan kayu ukur umur sahaja tanpa meletakkan syarat-syarat keahlian yang lain terlalu banyak kekurangannya.

“Sebagaimana yang telah menjadi amalan dalam demokrasi Barat. Ternyata sudah terdapat negara yang dikuasai dengan cara yang tidak bermoral dengan memilih orang yang tidak bermoral.

“Pada masa yang sama, melakukan pelbagai salah laku, rasuah, kongsi gelap, mafia, kartel dadah, samseng dan sebagainya.

“Hanya mereka daripada kalangan yang mahu berkuasa dengan matlamat menghalalkan segala cara sahaja, akan mendukung prinsip siapa sahaja boleh menjadi calon dan mengundi untuk memenangkannya dalam pilihan raya tanpa mempedulikan akibat daripada langkah yang salah,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya hari ini.

Hadi berkata, sudah terdapat contoh yang berlaku di negara Barat paling maju yang mengamalkan demokrasi telah melantik orang yang paling tidak berintegriti menjadi pemimpin setelah dipilih melalui pilihan raya.

Kemenangan diperolehi kerana berlakunya rasuah dan menipu, bahkan ada yang bersifat separuh gila, mengaku mempunyai salah laku secara nyata, dan juga ternyata menipu rakyat dan senarai tanda-tanda lain yang menunjukkan sifat tidak berintegriti.

“Sehingga tiada perbezaan antara lulusan universiti dengan mereka yang masih berada di pusat serenti atau pemulihan yang belum lagi berjaya dipulihkan akal dan akhlaknya,” katanya lalag

Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa pendaftaran pemilih automatik dan pelaksanaan had kelayakan umut5 mengundi 18 tahun terpaksa ditangguhkan sehingga 1 September 2022.

Perkara tersebut disokong Abdul Hadi yang menyatakan bahawa usia itu bukan penentu kematangan bagi rakyat negara ini memilih kerajaan.

Pada masa sama beliau menegaskan, penangguhan undi 18 tahun tidak akan memberi kesan kepada Pas.

Beliau turut menyifatkan bahawa undi perlu bergantung kepada kematangan dan tidak hanya terpengaruh dengan negara Barat.