Malaysia Dateline

Undi 18: Tidak layak tukar sahaja Pengerusi SPR, kata Anwar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh memberi jawapan yang munasabah berkenaan Undi 18, pengerusinya wajar ditukar.

“Kalau satu setengah tahun SPR tidak boleh bagi jawapan sama ada dia tidak cekap atau mengabaikan tugas, jika dua-dua alasan ini maknanya SPR kena tukar.

“Kalau dah tidak layak sila tukar,” katanya pada sesi dialog anjuaran Majlis Profesor Negara di Kajang, Selangor hari ini.

Anwar berkata, kerajaan boleh bagi tempoh tiga atau enam bulan kepada SPR untuk memberi cadangan berkenaan masalah teknikal yang didakwa kononya ia menghalang pelaksanaan Undi 18.

“Bagi tempoh 3 bulan 6 bulan, kalau benar dia kata beberapa masalah teknikal di DUN berilah cadangan sekarang, apa masalah?

“Masalah teknikal poin, mesti dipinda di bawah undang-undang tubuh negeri, udang-undang tubuh negeri kalau dah buat daruart memang tak boleh buat mesyuarat ini satu masalah,” katanya.

Bagi Anwar, jika ada draf pindaan kemudian benarkan sidang parlimen bagi tempoh dua minggu sudah tentu masalah ini boleh diselesaikan

“Apa masalah? Sebab semua pimpinan parti di DUN dan peringkat pusat semua sudah mengundi dan menyokong Undi 18.

“Jadi alasan teknikal itu bukan alasan yang munasabah, itu hanya helah kerana takut kesedaran kebangkitan anak muda,” katanya.

Jelas Anwar, ini adalah satu penipuan setelah lebih setahun Undi 18 diluluskan tiba-tiba hari ini bermacam-macam kekangan pula diberikan kerajaan.

“Kita dah luluskan setahun setengah yang lalu, kini kita pula kata ada kekangan itu ini bagi saya ini satu penipuan,”katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bersandarkan kepada situasi semasa negara terdapat kekangan pihaknya bagi melaksanakan pindaan had kelayakan umur pengundi itu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Untuk rekod, pada 3 Nov tahun lalu di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga