Undi anda rahsia selagi anda sendiri tidak dedahkan

Undi anda rahsia selagi anda sendiri tidak dedahkan

Undi anda adalah rahsia. Tiada siapa dapat meneka siapakah yang anda undi kecuali anda sendiri menceritakannya.

Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebut sesiapa yang ada dalam bilik mengundi mesti mengangkat sumpah kerahsiaan tak kira pegawai, kerani, calon, wakil calon atau petugas bilik mengundi. Borang A itu akan jadi jaminan undi anda rahsia.

Waktu kertas undi diberikan, kerani SPR hanya akan memotong nama pengundi sahaja dan TIDAK BOLEH buat apa-apa catatan untuk mengenal pasti pengundi itu diberikan kertas undi yang mana (Rujuk Peraturan 19(5) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Selepas mendapat kertas undi, pengundi perlu pergi ke kotak tempat mengundi dan menanda undi secara RAHSIA (Rujuk Peraturan 19(7) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Selepas kertas undi ditandakan, pengundi perlu melipat kertas undi untuk MERAHSIAKAN undinya dan memasukkan ke dalam peti undi (Rujuk Peraturan 19(8) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Selepas pusat pengundian ditutup jam 5 petang, Ketua Tempat Mengundi akan memasukkan kesemua kertas undi yang tidak digunakan, kertas undi rosak, buku daftar pemilih yang telah ditandakan dan kaunterfoil kertas undi dalam karung khas dan karung itu akan dilekatkan dengan perekat keselamatan sebagai jaminan bahawa ianya tidak akan dibuka semula atau dikacau ganggu (Rujuk Peraturan 24(1)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Sewaktu bermulanya proses pengiraan undi, setiap kerani SPR, calon, wakil calon, petugas mengira undi parti juga wajib mengisi Borang A bagi menjamin kerahsiaan semasa proses mengira undi (Rujuk Peraturan 25(5) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Kertas undi yang mengandungi pengenalan diri pengundi sehingga mendedahkan identiti pengundi akan dianggap sebagai undi rosak. Maka janganlah ditulis nama kita atau ditandatangan atas kertas undi itu (Rujuk Peraturan 25(7)(c) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Selesai mengira undi, kesemua kertas undi yang telah dikira atau ditolak kerana rosak atau apa juga kertas atau buku bersabit dengan pengiraan undi itu akan dimasukkan dalam karung khas yang diletakkan perekat keselamatan. Selepas itu karung khas itu akan dimasukkan pula dalam peti undi itu dan dilekatkan perekat keselamatan juga (Rujuk Peraturan 25A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Pengiraan undi pos dan undi awal juga melalui proses yang sama (Rujuk Peraturan 25C dan 27C Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Apabila selesai proses perisytiharan calon yang menang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan menghantar serah segala kertas dan dokumen pilihan raya itu termasuk kertas undi kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri untuk dilupuskan. Kesemua itu akan dilupuskan kecuali jika ada kes petisyen maka ianya akan disimpan sehingga selesai kes petisyen (Rujuk Peraturan 25E Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Hanya Hakim Mahkamah Tinggi sahaja yang boleh membenarkan atau Setiausaha SPR dalam kes berkaitan petisyen semata-mata yang boleh membuka semula peti undi yang mengandungi dokumen-dokumen di atas (Rujuk Peraturan 26 dan 26A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981).

Maka dengan jaminan undang-undang ini, rakyat Malaysia terutamanya penjawat awam, tentera, polis atau petugas SPR usah ragu-ragu untuk mengundi calon pilihan anda. Bos anda seperti Panglima Tentera atau Menteri tak berupaya untuk mengetahui siapakah yang anda undi.

Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa dia mengetahui undi anda, usah ragu-ragu untuk membuat laporan polis ke atas orang itu kerana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 3, 4, 5 atau 6 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Seksyen yang disebut itu menghalang sesiapa sahaja daripada cuba mengetahui undi anda atau jika pun dia tahu dia tidak boleh memaklumkan undi anda itu kepada orang lain.

Ingatlah! Undi anda adalah rahsia kecuali anda sendiri mendedahkannya.
_____________________
Penulis ialah seorang Peguambela & Peguamcara.