Malaysia Dateline

Undi Belanjawan 2021 hari ini juga, kata sumber

Dewan Rakyat dijangka akan menyelesaikan pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 hari ini juga.

Menurut sumber, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun telah memberitahu perkara ini kepada para ahli Parlimen bahawa semua jawapan menteri khasnya penggulungan utama oleh Menteri Kewangan akan dibuat pada hari ini juga.

“Pengundian akan dibuat hari ini juga. Speaker akin semua urusan sebelum pengundian akan selesai hari ini,” kata sumber itu.

Bagi membolehkan undian dibuat untuk menentukan samada Belanjawan ini boleh diluluskan atau tidak, Menteri Kewangan perlu membuat penggulungan akhir dan meminta agar ianya diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Pembangkang pula dijangka akan membuat permohonan agar pengundian dibuat secara belah bahagi atau pengundian menyokong dan membangkang satu persatu setiap ahli parlimen.

Menurut pengamal undang-undang, Muhammad Rafique Rashid Ali, jika lebih ramai Ahli Parlimen menolak dari menyokong, maka ia adalah satu isyarat jelas bahawa kerajaan dipimpin Muhyiddin telah hilang majoriti dan perlu meletakkan jawatannya atau diminta meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaklumkan beliau dan penyokongnnya akan menolak belanjawan ini.

Berdasarkan undian belah bahagi sebelum ini, pembangkang mempunyai 108 MP setelah menolak Batu Sapi dari Warisan yang meninggal sebelum ini.

Penyokong kerajaan pula mempunyai 110 MP setelah kematian ahli dari Grik.

Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) pula yang sebelum ini menyokong kerajaan telah memfailkan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika beliau menyokong pembangkang dalam undian hari ini bermakna, jumlah MP yang menyokong pembangkang dan kerajaan PN sekarang sama banyak iaitu 109 – 109.

MP Umno pula memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan ini. Jika tuntutan mereka diterima, mereka akan menyokong Belanjawan ini.