Undi BN: Negara parah dan rakyat menderita, kata calon Permatang Pasir

Undi BN: Negara parah dan rakyat menderita, kata calon Permatang Pasir

Pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh diingatkan supaya tidak sekali-kali memberikan undi kepada Umno dan BN menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei yang akan datang.

Sekiranya mandat diberikan juga kepada Umno dan BN, bukan sahaja negara akan bertambah parah dengan pelbagai kepincangan yang akan berterusan, sebaliknya rakyat akan hidup derita dan sengsara bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Ia bukan saja akan memudaratkan kehidupan rakyat, tetapi juga menjadikan yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin akan bertambah melarat.

Demikian dinyatakan oleh calon Dun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika menyantuni pengundi di Pasar Sama Gagah, Permatang Pasir semalam.

Faiz Fadzil ketika bertemu pengundi di kawasan Pasar Awam Sama Gagah di Permatang Pasir.

Jelas beliau lagi, selagi Umno dan BN mempunyai mandat tersebut derita rakyat yang berpanjangan sepertimana yang sedang dialami sekarang akan bercambah.

“Sekarang pun rakyat semakin dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Cukai GST yang dikenakan tidak adil dan menekan rakyat untuk membayar tambahan sebanyak 6 peratus lagi daripada apa yang dibelanjakan.

“Harga barang bertambah mahal, sedangkan wang yang kita perolehi semakin mengecil mengakibatkan rakyat terpaksa berbelanja lebih,” ujarnya lagi.

Menurut Faiz lagi, kerugian lain yang akan diperolehi oleh rakyat sekiranya Umno dan BN terus memenangi PRU kali ini ialah penyelewengan akan berleluasa.

Malah katanya setakat ini pun pelbagai jenis kepincangan melibatkan hutang negara yang berlambak belum dapat diselesaikan.

“Apa dah jadi dengan pelbagai pendedahan yang telah dibuat membabitkan isu 1MDB.

“Bagaimana pula mengenai pelbagai perkara membabitkan janji-janji terdahulu BN yang belum dilaksanakan walaupun PRU yang baru pula menjelang.

“Umno dan BN hanya bijak membuat janji, namun begitu mereka tidak mudah untuk mengotakan apa yang dijanjikan walalupun ia berlarutan bertahun-tahun lamanya, ” tegasnya.

Tambah Faiz lagi, kerajaan negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang telah pun membuktikan apa yang dijanjikan telah pun dilaksanakan sejak 2008 lagi.

“Kerajaan negeri bukan sahaja mampu memartabatkan Islam di Pulau Pinang dengan pelbagai program seperti bulan Al-Quran, Ihya Ramadhan, sumbangan kepada para huffaz, pondok, sekolah agama rakyat, tadika Islam maupun Kelas Agama dan Fardhu Air atau Kafa.

“Selain itu skim berbentuk ‘one-off’ yang diberikan kepada warga emas, anak emas, pelajar tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat masih lagi diberikan sehingga sekarang.

“Apa lagi dengan nasib golongan penarik beca, pemandu teksi, nelayan, operator bas sekolah, pelajar yang memasuki insitutusi pengajian tinggi dan seumpamanya tidak pernah dikesampingkan oleh kerajaan negeri, ” katanya lagi.

Sehubungan itu saran Faiz, pengundi Dun Permatang Pasir maupun Parlimen Permatang Pauh wajib menolak bukan saja BN tetapi juga Pas yang bersekongkol dengan parti pemerintah tersebut.

Faiz turut mendekati pengundi warga emas dalam kempen pilihan raya di Permatang Pasir.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote