Undi Cina didakwa beralih sokong Pas, DAP ‘parti U-Turn’

Undi Cina didakwa beralih sokong Pas, DAP ‘parti U-Turn’

Pas yakin masyarakat Cina kini beralih menyokong parti itu sehingga mendorong pemimpin DAP menghulurkan salam perdamaian.

Muka depan keluaran terbaru akhbar rasmi parti itu, Harakah memaparkan poster penuh ucapan Selamat Tahun Baru Cina berserta ungkapan, “Kaum Cina menyokong Pas memperjuangkan negara yang aman dan makmur” dengan di atasnya terpampang logo parti itu.

Semakan Malaysia Dateline juga mendapati nada sama disampaikan melalui laporan bergambar, “Pas tetap di hati non Muslim” di halaman N21 merujuk kepada agihan buah limau mandarin kepada masyarakat Cina oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Selangor.

Pemimpin yang terlibat Adun Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz; Adun Sabak, Ustaz Sallehen Mokhyi; Adun Serdang, Noor Hanim Ismail serta Adun Bangi, Shafie Ngah.  

Selang dua halaman selepas itu, tertera berita, “Pas semakin diterima kaum Tionghoa” yang merupakan reaksi pemimpin Dewan Pemuda Pas, Mohammad Ibrahim dengan menggelarkan DAP sebagai ‘DAP U-Turn’.

“Kini DAP U-Turn mengharapkan sokongan Pas. Jadi kaum Cina sudah faham dan dapat lihat sikap DAP ini,” ujarnya seperti dipetik.

Sambutan masyarakat Cina kepada Pas dapat diukur daripada program agihan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina.

Sementara itu, dalam halaman sama di N23 memuatkan berita, “Pas ajak Melayu, Cina dan India buat perubahan PRU14” merujuk kepada seruan presiden parti tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bersama gambar dengan kapsyen, “Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi tersenyum menyambut salam yang dihulurkan oleh peserta tarian singa”, laporan itu memetik ucapan Abdul Hadi dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina 2017 dan Dialog Bersama Presiden Pas di Kampung Batu Lima, Dungun pada 20 Januari lalu.  

Di muka belakang, Harakah dengan tajuk “Undi Cina beralih” menyifatkan segala tembelang DAP dan parti lain terdedah akhir-akhir ini sehingga mendorong kaum Cina memberi undi kepada Pas.

TAGS