Malaysia Dateline

Undi ganti Speaker: 111 sokong, 109 membantah

Dewan Rakyat hari ini memutuskan untuk mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat apabila 111 Ahli Dewan mengundi menyokong dan 109 mengundi menentangnya.

Dengan ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof ditamatkan khidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Ini sekaligus kerusi Timbalannya, Nga Kor Ming juga dikosongkan untuk diisi calon yang dipilih kerajaan Perikatan Nasional.

Timbalan Speaker Datuk Mohamad Rashid Hasnon memaklumkan seramai 111 ahli Parlimen bersetuju menyokong usul menggantikan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Manakala 109 ahli Parlimen membantah usul tersebut.

Dalam perbahasan usul tersebut tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan membawa usul berkenaan atas alasan mempunyai calon lain untuk menggantikan Speaker sedia ada.

Kerajaan mendakwa oleh kerana bertukarnya kuasa persekutuan, maka pembangkang perlu memberi laluan kepada mereka mengikut kehendak kerajaan.

“Kita dah tukar kerajaan. Bagi lah peluang. Dulu kita ikut kehendak kerajaan, sekarang ikutlah kerajaan sekarang pulak,” kata ahli Parlimen Pasir Salak (BN).