Malaysia Dateline

Undi musim tengkujuh: BN utamakan kuasa berbanding keselamatan rakyat dan negara

Pembubaran Parlimen ketika negara menghadapi musim tengkujuh dan kemungkinan banjir besar mengambarkan sikap Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kuasa berbanding keselamatan rakyat dan negara, tegas Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu berpendapat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa membubarkan Parlimen untuk mengelakkan tindakan displin oleh Umno seperti dilakukan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Ia sekaligus mengambarkan kepimpinan Ismail yang lemah dan lebih mementingkan desakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbanding kepentingan rakyat.

“Zahid perlukan PRU diadakan bagi menyelamatkan beliau dari pendakwaan rasuah yang sedang berjalan sekiranya BN menang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jam 3 petang tadi, Ismail Sabri menerusi Perutusan Khas mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walau bagaimanapun, banyak pihak menyifatkan keputusan membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan jangkaan banjir melanda negara menjelang akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, BN dijangka memohon pengampunan buat Najib jika memenangi PRU15.

“Ini akan memberi gambaran buruk buat Malaysia di mata dunia. Ianya akan menjejaskan ekonomi negara juga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat Malaysia bersatu hati menyelamatkan negara daripada politik wang dan amalan rasuah jika mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan kaya serta memiliki kehidupan yang harmoni.

“Bersama kita berusaha menyelamatkan negara dengan membawa harapan baru buat Malaysia,” tambah Adly lagi.

Baca juga ‘Budak’ universiti mana selamba ‘menyotong’ di kampus ni? – Nak menari begitu pergi tempat lainlah, gila!

Baca juga Alahai sedihnya, dua beradik ini maut digigit anjing