Undi Pas hanya sia-sia, tidak berpeluang menang, kata kajian IDE

Redzuan Othman

PH boleh menang besar jika peratusan keluar mengundi tinggi dan menolak Pas.

Institut Darul Ehsan (IDE) berpendapat Pas hanya berperanan untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) sekali gus membantu kemenangan BN pada pertembungan tiga penjuru di Selangor.

Oleh itu, bagi menyekat gangguan Pas itu, pengundi di Selangor perlu memberikan undi kepada PH kerana mengundi Pas adalah sia-sia.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, analisis pihaknya mendapati adalah sukar dari segi logik untuk Pas boleh menang dalam mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor.

“Kecuali mereka memainkan peranan untuk membantu memenangkan Barisan Nasional,” tegasnya semasa membentangkan hasil kaji selidik ‘Tiga Penjuru: Apakah Pilihan Rakyat?’ di Shah Alam petang tadi.

Menurut Redzuan, PH mampu menang besar jika peratusan keluar mengundi tinggi iaitu melebihi 80% dalam pilihan raya kali ini yang kebetulan diadakan di pertengahan minggu.

Menurutnya, simulasi juga menunjukkan PH masih boleh menang di kerusi Dun tertentu tetapi dengan undi majoriti kecil berbanding sebelum ini lantaran undi pecah apabila Pas turut meletakkan calon.

“Pas berjaya bukan kerana dia menang tetapi menyekat PH. Berdasarkan pengundian mengikut pusat daerah mengundi, Pas memenangkan BN.

“Mengikut kajian kita lakukan, Pas agak sukar menang di Selangor kerana kerusi yang mereka tandingi itu ternyata tidak lagi mendapat sokongan pengundi Cina dan India,” katanya.

Jelasnya, di kerusi Dun Paya Jaras (N38) sebagai contoh, kawasan pusat daerah mengundi yang dimenangi pembangkang sebelum ini telah dikeluarkan selepas persempadanan semula.

Sebaliknya, jelas beliau, kawasan-kawasan yang dianggap boleh membantu kemenangan BN dimasukkan dengan mewujudkan daerah mengundi baharu.

“BN menang 340 undi. Dia menang dengan bantuan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Kita dapati BN menang dibantu oleh Pas dengan 560 undi,” jangkanya.

Beliau mendedahkan situasi sama juga berlaku di kerusi Dun Morib (N53) yang dipertahankan penyandang Hasnul Baharuddin dari AMANAH tetapi bertanding atas logo PKR pada PRU kali ini.

“Kawasan ‘biru’ (pengundi tegar BN) ditambah lagi selepas persempadanan semula supaya selepas ini menjadi kawasan berpotensi (BN menang).

“Dimasukkan pusat daerah mengundi yang tegar menyokong Umno ke dalam kawasan Morib. Kesannya kita dapati kawasan ini dimenangi BN dengan majoriti 2,676 undi,” katanya sambil menunjukkan paparan skrin peta daerah mengundi kawasan yang terletak di bawah Parlimen Kuala Langat itu.

Senjata sulit

Sokongan untuk BN menurun untuk semua kaum.

Walau bagaimanapun, Prof Mohammad Redzuan berkata risiko pengundian awal dan undi pos dilihat akan menjejaskan kemenangan PH bukan sahaja di Selangor bahkan di seluruh negara.

“Mana-mana kawasan yang menang 1,000 (undi majoriti), daripada pengalaman kita, sukar untuk menang kerana BN ada senjata-senjata sulit yang kita tidak tahu, antaranya undian awal dan undi pos,” tegasnya.

Ditanya pemberita tentang situasi semasa Pas, beliau berpendapat parti tersebut sukar untuk menang kerana bebanan jentera pilihan raya dengan banyaknya kerusi yang ditandingi.

“Biasanya dekat pilihan raya, Pas agak intensif mengadakan program tetapi kali ini Pas meletakkan calonnya di banyak kawasan.

“Walaupun dia kata ada jentera banyak tetapi dia terpaksa agihkan kekuatan, sebab bila sampai pilihan raya masing-masing akan jaga kawasan.

“Sebab itulah kita tidak nampak program besar yang dianjurkan Pas. Ceramah kelompok pun tak nampak banyak cuma (Pas) menang dari segi bendera dan billboard tapi pilihan raya belum tentu menang,” jelasnya.

Walaupun persempadanan semula dilakukan di kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang selain faktor Pas turut meletakkan calon, beliau berkata, secara keseluruhan BN masih sukar untuk merampas Selangor daripada PH.

“Betul ada kerusi jatuh (kepada BN) tetapi kerajaan negeri masih kekal di tangan Pakatan Harapan. Mereka (BN) juga tidak ada pemimpin dan imej pemimpin mereka juga tidak melambangkan kematangan.

“Bertuala, bawa baldi, itu bukan imej yang baik walaupun (BN) janji macam-macam. Ditambah pemerintahan dua penggal PH, rakyat dapat merasai pelbagai nikmat.

“Tidak ada isu besar walaupun SPRM sering melakukan serbuan dan sebagainya. Mereka (PH) membuktikan integriti pentadbiran dan memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar yang dibuat,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Pas Selangor meletakkan calonnya di 20 daripada 22 kerusi Parlimen dan 47 daripada 56 kerusi Dun.

6.4
OVERALL SCORE
13 user votes x 6.9