Malaysia Dateline

Undi percaya di Perak, apakah Umno juga boleh bersikap terbuka di Parlimen?

Insiden undi percaya yang berlakum di DUN Perak semalam membuktikan Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka dalam memastikan proses demokrasi berjalan di atas landasannya.

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, jika kes ini dipanjangkan di peringkat Parlimen sememangnya tidak mustahil Ahli Parlimen Umno berganding undi dengan Ahli Parlimen PH untuk menentukan nasib Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang hingga kini gagal mengabsahkan kedudukannya.

“Apakah MP UMNO boleh berbalas sikap terbukanya untuk selamatkan demokrasi secara majoriti di Parlimen Persekutuan pula?

“Kita tunggu episod pergolakan seterusnya di Parlimen pula. Apa yang utama ialah kembali kepada prinsip demokrasi dan perundangan,” kata beliau.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, apa yang berlaku di Perak membawa isyarat penting dinamika politik yang sedang bergolak di peringkat Persekutuan.

“ADUN Umno di Perak telah membuktikan sokongan ADUN PH untuk mencapai sesuatu usul berkepentingan bersama bukan mustahil,” katanya.

Dalam masa yang sama, kata Mujahid, Umno tidak kekok untuk menerima sokongan DAP yang dicanang anti-Melayu dan anti-Islam untuk menukar MB PN yang melaungkan kerajaan Melayu Islamnya bersama PAS.

“Lebih menarik untuk diperhatikan ialah 48 undi yang diperolehi adalah kombinasi ADUN dari Umno 24 dan solid 24 dari PH.

“PH terdiri daripada DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun UMNO dan PH tidak ada pakatan politik tetapi keduanya berjaya menjatuhkan MB dari Perikatan Nasional yang dibentuk bersama Umno,” ujarnya.

Dari sudut tindakan, katanya keputusan Speaker menerima usul tersebut bertepatan dengan kehendak demokrasi ini kerana sidang kali ini adalah sidang belanjawan dan keperluan keabsahan kedudukan MB perlu mendahului segala agenda.

Semalam, DUN Perak telah melakukan undi percaya (vote of confidence) terhadap Menteri Besarnya dan keputusan tolak seramai 48 orang berbanding terima 10 orang telah diputuskan.

Ini bermakna Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja telah gagal mempertahankan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dan terpaksa melepaskan jawatannya.