Malaysia Dateline

Undi percaya: Kenapa Wan Junaidi yang maklum titah Agong bukannya Ismail?

Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob sepatutnya mengambil tindakan segera memaklumkan kepada umum berhubung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak perlu undi percaya bukannya memberitahu kepada Menteri Undang-undang.

Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, berita besar ini sepatutnya Perdana Menteri wajar umum serta-merta apatah lagi berita ini sangat baik baginya.

“Tapi pasal apa tunggu sampai seminggu untuk dihebahkan dan bukan oleh Perdana Menteri tetapi oleh Wan Junaidi?

“Adakah Perdana Menteri bagi tahu Wan Junaidi seorang saja? Apa hal dengan Menteri-menteri lain?,” soal beliau dalam tulisannya yang terkini.

Selalunya kata beliau berita besar dan sensasi macam ini tidak tahan lama di perut macam mana pun ia akan pecah juga di mulut tetapi ini boleh tahan sampai seminggu.

“Kalau betul ada titah macam itu, tidak perlulah susah-susah Peguam Negara, Idrus Azizan Harun buat kenyataan pertahan kedudukan bosnya sampai dituduh “derhaka” kepada Yang di-Pertuan Agong,” bidas beliau.

Kadir juga berkata, jika makluman ini datang daripada Istana Negara orang ramai lebih percaya kepada kenyataan Istana Negara daripada kenyataan seorang menteri junior.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memberitahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau tidak perlu melalui proses undi percaya di Dewan Rakyat.

Maklumat itu disampaikan perdana menteri kepadanya Wan Junaidi ketika mesyuarat Kabinet pertamanya 1 September lalu.

Terkini, dilaporkan usul undi percaya tiada dalam agenda mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bersidang minggu depan.

Ini berikutan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang baharu menerima aturan urusan mesyuarat Parlimen untuk persidangan itu berkata, terdapat usul memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan membahaskan titah Agong.