Malaysia Dateline

Undi percaya: MP yang tidak ikut ketetapan parti berisiko besar

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ialah seramai 148 orang.

Ia merangkumi daripada PH berjumlah 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 2, PBM 1 dan Bebas 1 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang merupakan blok pembangkang.

Dengan memiliki jumlah sokongan sebanyak 148 daripada 222 kerusi Parlimen keseluruhannya, bermakna Anwar cukup-cukup mencapai garisan dua pertiga majoriti dalam kerajaan yang dipimpinnya.

Jika semua Ahli Parlimen parti-parti yang membentuk kerajaan setia kepada keputusan parti masing-masing, maka undi yang akan diperolehi oleh Anwar dalam usul percaya di Parlimen esok adalah 148.

Pun begitu, dalam proses pembentukan kerajaan selepas PRU15 baru-baru ini, dikatakan seramai 10 Ahli Parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Dua daripada mereka bagaimanapun telah bertemu dengan Anwar di Pejabat Perdana Menteri, baru-baru ini.

Kedudukan mereka yang selebihnya itu masih misteri ketika ini – sama ada masih menyokong Mahiaddin atau turut akur dengan keputusan UMNO/BN yang memilih bersama PH membentuk kerajaan perpaduan.

Lebihan 20 Ahli Parlimen BN yang lain adalah mereka yang bersama dengan apa juga keputusan parti, setia kepada Ahmad Zahid Hamidi dan pasti akan menyokong usul percaya terhadap Anwar.

Kiranya 10 atau mungkin 8 Ahli Parlimen BN yang sebelum ini menyokong Mahiaddin itu tidak mengundi Anwar dalam usul percaya hari ini, maka undi yang diperolehinya dalam usul percaya tersebut akan berkurangan kepada sama ada 138 atau 140.

Jumlah kedua-dua itu bagaimanapun masih melepasi garisan 112 iaitu jumlah majoriti paling minima yang diperlukan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.

Ahli Parlimen daripada gabungan parti lain boleh dikatakan tidak diragui kesetiaannya kerana mereka secara umumnya akur, taat dan setia kepada ketetapan parti atau ketua masing-masing.

Apabila parti masing-masing sudah membuat ketetapan menyokong Anwar dan akur terhadap titah Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, mereka biasanya tidak akan berpaling lagi daripada pendirian yang telah dimuktamadkan itu.

Boleh dijamin 100 peratus mereka daripada gabungan selain BN itu akan menyokong Anwar dalam usul percaya yang akan dikemukakan hari ini.

Jadi, sementara kemenangan memang boleh dikira sudah terjamin buat Anwar, persoalan yang timbul sekarang ialah apakah undi yang diperolehinya berjumlah 148 iaitu melepasi dua pertiga atau kurang daripada itu.

Kalau berjaya 148 undi diperolehi, maka stabillah kerajaan yang terbentuk untuk tempoh lima tahun mendatang ini.

Meskipun jika undi yang diperolehi kurang daripada 148 itu tidak menjejaskan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, risiko lebih besar sebaliknya ialah kepada mereka yang tidak mengundi mengikut ketetapan parti itu.

Kalau pun identiti mereka tidak diketahui oleh semua orang, ketua parti berkenaan tentu boleh mengenalpasti siapa dalam kalangan Ahli Parlimennya yang tidak mahu akur dan setia kepada keputusan parti itu.

Akhirnya, kalau pun dengan tidak mengundi usul percaya itu tidak menyebabkan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen tergugur, ketua parti berkenaan tentu lebih arif untuk menguruskan mereka selanjutnya.

Baca juga ‘Geng tebuk atap sebenarnya yang tidak bebas’ – Rafizi selar PN isu MoU gabungan Kerajaan Perpaduan