Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh menganggap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘takut’ dengan parti-parti dalam kerajaan berhubung tuntutan undi percaya.
Presiden PKR itu berkata, proses undi percaya merupakan tuntutan paling asas dalam mana-mana sistem demokrasi berparlimen serta pernah dilakukan Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi.
“Tan Sri Mahiaddin tidak (buat usul undi percaya), sebab itu dia merudum.
“Sekarang, Ismail Sabri sehingga hari ini, belum. Dalam pertemuan kami sebelum ini, dia membayangkan seolah-olah, (undi percaya) tidak percaya.
“Saya beri nasihat kerana keabsahan legitimasi yang kemudiannya dititahkan Tuanku Agong.
“Dia takut sama-sama dia (parti-parti dalam kerajaan),” kata Anwar dalam klip bual bicara yang dimuatnaik di Facebook rasminya semalam.
Untuk rekod, Anwar yang turut disertai Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menemui Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.
Pertemuan kepemimpinan tertinggi PH dengan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno itu berlangsung selama sejam.
Antara agenda pertemuan itu ialah mencari titik persamaan terbaik bagi menangani pandemik Covid-19 dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen, memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun turut hadir sewaktu sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bersama ketua-ketua parti pada 17 Ogos lalu.
“Sultan Nazrin dalam menyokong titah Agong menambah usul undi percaya harus menjadi agenda pertama dalam sidang Parlimen. Peguam Negara pun ada tapi dia tak kata apa.
“Jadi, pada masa itu semua sependapat kemudian Agong menitahkan dalam kenyataan Istana Negara, usul undi percaya perlu dilakukan.
“(Tapi) tidak semena-mena keluar kenyataan Peguam Negara, nak jaga Yang di-Pertuan Agong tidak perlu undi percaya.
“Apa benda ini? Dalam konvensyen negara kita dan semua negara demokrasi, selepas pilihan raya, mandat baru. Di antara itu siapa yang bertukar ganti harus memohon undi percaya,” tegas Anwar lagi.