Malaysia Dateline

Undi perkauman sedang dilakar Umno-Pas menjelang PRU15

ULASAN: Ini semua wayang Umno dan Pas yang berkulit hijau di luar, dalamnya ternyata merah.

Caturan mereka dalam mewarnakan keputusan PRU14 hakikatnya tidak terhenti dengan kegagalan membentuk kerajaan UG. Malah semakin jahat. Kehilangan kuasa menjadikan mereka semakin nekad. Lantaran sakitnya hilang kuasa dan terhentinya hidup mewah itu, gilanya bukan sedikit.

Ketika ini, umno sengaja menjarakkan diri dpd MCA dan MIC khususnya untuk menarik kembali seberapa banyak simpati dan sokongan orang-orang melayu yg nantinya akan diterjemahkan dalam bentuk UNDI PERKAUMAN menjelang PRU15. Dua PRK yang terakhir sahaja sudah mula menampakkan kemenjadiannya.

MCA dan MIC disuruh terus bersabar. Adakala cara yang digunakan hikmah dan hemah. Sehingga MIC sanggup melepaskan kerusi Parlimen P.078 Cameron Highland bagi memberi laluan calon Islam daripada umno. Itupun atas permintaan Pas yang mahukan calon Islam. Adakala cara yang digunakan agak kasar, angkuh dan sombong; persis tingkah Haji Hadi ketika menghalau pemimpin-pemimpin pas yang pro Pakatan Rakyat (perpaduan nasional) dan tidak setuju parti Islam hanya bicara soal perpaduan melayu, khususnya selepas wafatnya almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Itupun melayu sempit, sesempit sekelompok No-Pas (Umno Pas).

MCA dan MIC kini boleh melihat the true colour of umno, parti oppurtunis penunggang.

Selepas 60 tahun menunggang MIC, MCA, dan lain-lain parti berasas kaum termasuk di Sabah dan Sarawak atas semangat kononnya Perpaduan Nasional, kini umno juga seperti Pas; tanpa malu dan tanpa segan menzahirkan diri mereka sebenar – Oppurtunis Penunggang.

Iya lah kan, malu apa bos ku? Jika mencuri dan menerima duit curi pun tak malu, ini kan pula menunggang bangsa dan agama. Apedahal.

Di samping umno terus usaha meyakinkan Pas bahawa umno “rakan ta’awun” yang boleh diharap untuk melaksanakan Islam Mengikut ACUAN Pas (halal haram tergantung ikut kepentingan kelompok).

Malang bagi Malaysia, punya 2 parti oppurtunis penunggang. Lebih malang jika mereka terus dibiarkan berjaya menipu rakyat, iyya kita semua rakyat berbilang kaum yang sekian lama hidup harmoni, saling memahami, saling menghormati dan saling mengasihi!

Sanggupkah kita perjudikan ini semua hanya untuk ditipu oleh permainan propaganda kaum dan agama yang jelas saling melaga-lagakan kita secara umum, instead of melihat isu-isu penghinaan agama ini jika berlaku adalah atas kapasiti peribadi si pelaku itu sendiri. Bukan kaumnya. Bukan agamanya. Bukan keluarga dan keturunannya yang galak disabitkan secara borong oleh umno pas!

Sejak merdeka, negara berbelanja besar untuk membangun dan memperkukuhkan semangat perpaduan nasional serta integrasi kaum. Malaysia sudah berpuluh tahun meninggalkan semangat perkauman sempit, malah membangun masyarakat dengan asimilasi dan integrasi kaum yg agak berjaya.

Tidak dapat tidak, kejayaan ini adalah sebahagian besar merupakan sumbangan parti-parti pembangkang dahulu yang komited terhadap menjayakan perpaduan dalam negara. Bukan sebaliknya menjadi agen pemecah belah, penghasut dan pembenci atas nama kaum dan agama seperti yang kini sedang dimainkan umno dan pas.

Bahkan Pas pada waktu itu, khususnya di bawah kepimpinan Presidennya, almarhum Ustaz Fadzil Noor, telah memainkan peranan yg cukup berimbang dan bertanggungjawab. Termasuk, ketika menangani suasana sedikit gawat selepas munculnya Amanat Haji Hadi, yang menjadi punca tercetusnya peristiwa 2 imam, nikah semula, konflik halal haram sembelihan oleh melayu Islam umno berbanding melayu Islam pas dan banyak lagi ketegangan rakyat sesama melayu Islam angkara minda dan ijtihad Haji Hadi.

Saksi-saksi sejarah masih ramai yang hidup. Baik di dalam umno mahu pun di dalam pas. Kesan negatif Amanat Haji Hadi bukan sedikit.

Saya sendiri yang berpuluh tahun tidak percaya, mula mengesannya seawal tahun 2015, selepas kemunculan PasMa. Jemputan kenduri Sahabat Pas yang sertai NGO PasMa pun, jangan cuba hendak hadir. Dalam pada tidak hadir pun, tetap difitnah merupakan penyokong PasMa. Lebih malang, menghalalkan usaha character assassination mereka, saya malah difitnah sebagai Ketua Muslimat PasMa. Bahkan fitnah ini menjalar kepada setiap organisasi Pas khususnya muslimat. Hebatkan?

Hari ini, demi kepentingan politik kepartaian yang sempit khususnya oleh 2 parti penunggang yang gagal membentuk kerajaan seusai PRU14, mereka kini sanggup memperjudikan apa sahaja. Termasuk mengenepikan dahulu soal-soal teknikal namun signifikan yang masih banyak.

Ramai sahaja ahli pas di kampung-kampung yang tidak redha dengan kerjasama ini. Tetapi mereka selain digula-gulakan dengan janji syurga dan sesekali dana, mereka juga terus diasak dengan pelbagai serangan persepsi yang direkayasa umno pas untuk mempotraitkan bahawa kononnya Pakatan Harapan itu musuh Islam dan Melayu.

Sentimen Melayu Islam diperhebatkan. Segala peluang dimanfaatkan. Di atas jembatan perpaduan nasional yang runtuh sekalipun, umno pas tetap akan terus berharap boleh membina mahligai kuasa.

Bukan tidak pernah berlaku penghinaan kepada nabi saw dan Islam semasa pemerintahan bn, ada saja. Itupun tidak pernah kita dengar ada tindakan tegas. Adakalanya isu disapu sahaja ke bawah karpet. Media proksi yang dibangun dengan dana negara tetapi menjalankan kerja-kerja politik kepartaian malah memainkan peranan menyejukkannya.

Berbeda pada hari ini. Semua diambil peluang untuk disabitkan dengan kononnya kerajaan PH membiarkan, tidak bertegas, malah ada yg fitnah itu agenda PH! Satu isu sahaja terus disensasikan seolah-olah Islam sudah benar-benar terancam. Umno bn sebagai kerajaan yang menyediakan undang-undang dahulu, seolah-olah tidak perlu lagi menghormati undang-undang yang dia sendiri buat dan luluskan.

Malaysia bukan negara rimba, bila marahkan seseorang maka boleh tangkap dan terus bunuh, seperti yang difaham oleh segelintir walaun pas yang berkata halal darah. Semudah itu dakwah parti penunggang Islam? Ternyata itu bukan ajaran Nabi Muhammad saw. Lalu, adakah laungan cinta nabi ini hanyalah isti’jal walaun yang kerana memakai pakaian dakwah maka terus prasan mereka itu pendakwah, pejuang agama?

Politik kepentingan Umno Pas telah menjadikan niat mereka untuk berkuasa – menghalalkan apa jua cara. Termasuk berbohong, menipu, memfitnah dan beralih menyokong parti perompak dan yang 60 tahun mereka lawan kononnya atas dasar aqidah. Ternyata, selepas satu parti mendapat cash, maka lawannya kini diangkat menjadi King. Apedahal. Kan.

Nah, setakat mainkan sentimen perkauman dan mengapi-apikan semangat jihad di dalam dada pemuda pemudi Islam yang naif dan salah didikan faham politiknya sehingga menjadikan parti itu adalah agama dan bangsa, apedahal bagi pemimpin No Pas.

Ia malah dibingkaikan dengan bingkai emas bernama jihad fisabililLah. Langsung dilaung sekalian walaun dengan laungan “bir ruh bid dam” (dengan nyawa dengan darah) untuk bersabil sesama rakyat jelata demi mempertahankan pemimpin perompak dan pembohong. Satu juara menghancurkan kekuatan ekonomi negara. Lagi satu juara pemecah belah ummah.

Sepatutnya, selepas 60 tahun rakyat belajar daripada politik pecah dan perintah umno bn.

Ambil iktibar daripada politik propaganda 3R race religion and royal yang sering menjadi senjata dan bom jangka umno bn untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Belajar daripada akibat selepas ummat terperosok ke dalam gua gelap “instill fear” yang sekian lama menjadi mainan umno bn. Yang akhirnya meletakkan ekonomi dan pembangunan negara dalam kondisi lemah. Itu pun yang PH warisi dan kita semua telah rasai penderitaannya sejak sebelum keputusan PRU14 lagi.

Doa saya, semoga rakyat Malaysia berbilang kaum terus bersatu hati. Tidak cepat melata, tidak bermain dalam gelanggang perkauman dan pergeseran agama yang sengaja direkayasa umno pas, proksi-proksi dan dalang-dalang wayang kulit mereka.

Saya doakan adik2 dan teman saya yang mukhlis dengan agama, mendapat rezeki petunjuk yang benar. Berani berbeda atas nama kebenaran. Berani berhijrah kerana menolak kebatilan.

Saya juga menyeru agar Kerajaan segera meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan dan hukuman lebih tegas kepada penghina agama, pencetus ketegangan kaum, pemfitnah dan pengadu domba yang menggunakan agama dan bangsa.

Yakin dan percaya, jika kita jelas akan ajaran agama kita, jelas akan sejarah negara dan kekuatan perpaduan bangsa Malaysia yang kita punya, saling memahami, saling menghormati, saling mempercayai serta saling mengasihi sebagai saudara2 seinsan ciptaan Tuhan; segala onar 2 parti penunggang umno pas ini upaya kita tangani dengan Iman yang benar, fathonah dan tenang.

Penulis adalah Senator Dewan Negara dan AJK AMANAH Nasional