Undi PH, PPBM jika Pas dolak-dalik

Undi PH, PPBM jika Pas dolak-dalik

Pemuda Amanah Nasional menyeru rakyat supaya hanya memberikan sokongan dan undi kepada Pakatan Harapan dan Bersatu yang bersedia menjadi kerajaan menanti (government in waiting) jika Pas terus berdolak-dalik dalam perjuangan rakyat.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, hal ini memandangkan strategi terbaik untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional adalah dengan membentuk satu permuafakatan politik yang kuat.

“Apatah lagi, masa depan negara yang kian terancam akibat skandal korupsi dan penyelewengan 1MDB, Felda dan pelbagai lagi institusi lain, Pas seharusnya meletakkan perjuangan menyelamatkan negara sebagai agenda perjuangan yang lebih utama. Ini adalah kerana menentang kezaliman dan kebatilan pemerintah adalah jihad yang paling mulia,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu pembangkang mengikut cara parti itu sekiranya mahu mengadakan kerjasama, beliau menyifatkan Pas hanya mementingkan diri berbanding mengutamakan kepentingan rakyat. 

“Tindakan berjuang bersendirian atau membentuk blok ketiga hanya dilihat sebagai ‘spoiler’ dan cuba membantu Umno dan Barisan Nasional mengekalkan kuasa mereka sedangkan rakyat mahukan perubahan yang total berlaku dalam tampuk pemerintahan negara.

“Dalam keadaan kehidupan rakyat yang tertekan akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan) serta kenaikan kos sara hidup, rakyat memerlukan pembelaan dan tiada jalan lain selain daripada menumbangkan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum nanti,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu dilapor berkata, syarat berkenaan dikenakan memandangkan Pas paling lama bertapak di negara ini berbanding parti pembangkang yang lain.

“(Kita) mengalami peristiwa rebah, bangun. Parti lain tak pernah alami pengalaman ini. Kita alami, sebab itu orang lain tak boleh nak ajar kita dalam politik. Kita lebih matang dari orang lain. Mereka kena ikut Pas kalau (nak) bekerjasama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam, semalam.

Sehubungan itu, Faiz menyelar sikap Pas pada masa ini yang berbeza dengan kepimpinan parti bertemakan hijau sebelum ini.

“Ironinya, Pas tidak mahu bekerjasama dengan DAP sedangkan pemimpin Pas terdahulu termasuk Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menjalin kerjasama politik yang erat bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Maka, perjuangan Parti Amanah Negara bagi menukar kerajaan Umno Barisan Nasional yang zalim dan korup ini dengan meletakkan dasar pemerintahan berteraskan prinsip integriti dan urus tadbir yang baik (good governance) adalah perjuangan islam,” jelasnya lagi.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)