Malaysia Dateline

Undi Pos: PH mahu SPR beri hak memantau, jaga peti undi hari mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta membenarkan Pakatan Harapan (PH) diberikan hak memantau dan menjaga peti undi pada hari mengundi pengundi pos bagi mengelakkan sebarang salah laku walaupun proses undian pos dikendalikan pihak SPR.

Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR Nurul Izzah Anwar berkata, bukan semua anggota keselamatan dan kesihatan yang akan dikerahkan pada hari pengundian.

Jika tidak dipantau, ada kemungkinan dakwnya berlaku, penyelewengan undi.

“SPR selaku agensi bertindak bagi segala urusan berkaitan pilihan raya di Malaysia – terutamanya dalam isu pertambahan mendadak bilangan pengundi pos dan awal.

“Secara kasar, kenaikan besar 150% jumlah pengundi pos dan awal, daripada kira-kira 400,000 sewaktu PRU13 menidakkan hak pengundi biasa yang membuang undi dengan harapan pilihan mereka diangkat sebagai pimpinan negara.

“Kerisauan saya, pembolotan sistem undi pos yang menjurus kepada satu pihak sahaja mampu mengakibatkan parti pemerintah sedia ada menang kerusi parlimen marginal.

“Ia ternyata pernah berlaku, sepertimana mereka memenangi 30 kerusi parlimen PRU13 dengan undi majoriti rendah.

“Maka, mungkin sahaja parti pemerintah tersebut dapat mendominasi dua pertiga kerusi parlimen dan menguasai Dewan Rakyat hasil bantuan undi pos yang berat sebelah di PRU14,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah tentang permohonan pengundi pos dalam negara.

Ia merangkumi anggota pelbagai agensi dan badan beruniform seperti anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; petugas hospital serta klinik kerajaan; sukarelawan polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar)

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai ini lagi,berlaku penambahan besar 150% jumlah pengundi pos dan awal, daripada kira-kira 400,000 sewaktu PRU13.

Ini menafikan hak pengundi biasa yang membuang undi dengan harapan pilihan mereka diangkat sebagai pimpinan negara.

Katanya, daripada statistik Pengundi Biasa dan Pengundi Tidak Hadir 2013 oleh SPR menunjukkan jumlah terkini untuk Pengundi Awal dan Pengundi Tidak Hadir iaitu; Tentera dan Pasangan sejumlah 162,519 orang; Polis dan Pasangan (112,697);Undi Pos mengikut Parlimen (142,367);Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (3,243).

“Saya juga menyeru agar peraturan yang termaktub bagi anggota ATM, PDRM, media dan petugas pilihan raya, agar dikuatkuasa sepenuhnya.

“Butiran tentang permohonan kertas undi pos yang perlu dikemukakan melalui majikan masing-masing, serta lantikan Pegawai Penyelaras atau Pegawai Yang Bertanggungjawab oleh Ketua Jabatan ATM atau PDRM untuk menyelaraskan permohonan undi pos perlu dipantau bagi mengelakkan ketirisan yang mampu mengambil tempat,” terangnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR turut berkata, kes yang berlaku kepada bekas tentera udara Mejar Zaidi jelas dapat dilihat bahawa undang-undang sedia ada tidak akan melindungi individu yang mempunyai pendapat peribadi ataupun keputusan mengundi yang mungkin tidak selari dengan majikan mereka.

“Tindakan Mejar Zaidi yang mengemukakan satu kenyataan media berhubung isu dakwat kekal mengakibatkan beliau diputuskan sebagai bersalah kerana melanggar para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat).

“Maka ingin saya persoalkan, adakah SPR mampu melindungi penjawat yang ingin menegakkan hak sebagai pengundi – meskipun dihalang pihak atasan?

“SPR juga perlu memperjelaskan isu berbangkit seperti yang didengari tahun lepas, melibatkan pendaftaran pengundi di kem tentera Segamat, Paloh dan Hutan Melintang yang masih belum siap.

“Sekiranya SPR bersikap terbuka tentang data pengundi, sudah pasti kontroversi yang berlaku dapat dielakkan.

“SPR perlu sedar, rakyat hari ini semakin bijak dan mahu disalurkan maklumat tepat – termasuk data pengundi dan ketelusan setiap proses menghampiri hari agung PRU14,” ujarnya

Justeru beliau menegaskan lagi, keterbukaan SPR dalam urusan pilihan raya umum, berpotensi membuka lembaran baru dalam sejarah demokrasi tanah air.