Undi protes, gagal urus kejayaan punca PH tersungkur

Undi protes, gagal urus kejayaan punca PH tersungkur

Undi protes dan kegagalan mengurus kejayaan dilihat sebagai dua faktor utama bagi kekalahan Pakatan Harapan, kata pemimpin Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi.

Ahli Dewan Negara itu berkata, undi protes adalah daripada penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Jika selain itu, maka ia adalah sabotaj. Itupun terjadi akibat kegagalan mengurus kejayaan. Ini juga wajib diberikan perhatian,” ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menjauhi penyakit sindrom penafian sebaliknya bermuhasabah secara jujur.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kepimpinan dan jentera PH khususnya AMANAH yang terlibat bertungkus-lumus sejujurnya sepanjang gerak kerja kempen PRK.

“Dalam konteks PRK P.165 Tg Piai ini sememangnya tepat ulasan serta rumusan yang menyebut bahawa AMANAH pada hakikatnya telah memenangi awal PRK ini dalam konteks falsafah, iltizam dan prinsip siasah bernegaranya. Alhamdulillah,” ujarnya.

Aiman Athirah turut berharap pimpinan dan pendukung PH di Tanjung Piai akan dapat terus bekerja memberi khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Keputusan PRK Tanjung Piai malam ini menyaksikan calon PH, Karmaine Sardini hanya mendapat 10,380 undi manakala calon BN, Wee Jeck Seng memungut 25,466 undi.