Undi Rabu: SPR didakwa mahu halang rakyat buang undi

SPR didakwa cuba halang ramai pengundi membuang undi dengan pengundian pada pertengahan minggu,

Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada hari bekerja iaitu Rabu 9 Mei mendapat banatahan pelbagai pihak dan disifatkan sebagai usaha untuk halang rakyat membuang undi.

Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat Pakatan Harapan (PH) untuk mempastikan kerajaan bertukar tangan dalam PRU 14 ini.

“Pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa tarikh buang undi ditetapkan pada 9 Mei 2018, Rabu, iaitu pada hari bekerja merupakan tindakan paling tidak bertanggungjawab.

“SPR sepatutnya menetapkan tarikh yang lebih sesuai agar peratusan keluar mengundi meningkat berbanding Pilihanraya Umum Ke-13,” kata Shazni Munir Mohd Ithnin, Naib Ketua Pemuda AMANAH dalam respon awal beliau mengenai penetapan tarikh pilihan raya kali ini.

SPR menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 5 Mei manakala hari mengundi pada 9 Mei iaitu pada hari pertengahan minggu bagi rakyat Malaysia.

Bagi penganalisis politik yang menyertai Bersatu baru-baru ini, Wan Saiful Wan Jan, pemilihan tarikh 9 Mei sebagai hari mengundi adalah satu lagi helah Najib dan Umno untuk mencuri PRU14.

“Ia jatuh pada hari Rabu, iaitu hari bekerja. Sudah pasti ramai yang tidak dapat mengundi, terutama mereka yang menetap atau bekerja jauh daripada tempat mengundi,” katanya.

Bagi beliau, langkah ini kerana Umno mahu peratusan keluar mengundi rendah kerana mereka tahu bilangan rakyat yang tidak menyokong mereka adalah ramai.

“Jika peratusan keluar mengundi adalah tinggi, kemungkinan untuk Najib berpindah keluar dari Putrajaya juga adalah tinggi.

“Sekarang adalah amat penting untuk Pakatan Harapan memastikan peratusan keluar mengundi adalah tinggi. Jangan biarkan Najib mencuri PRU14,” katanya.

Bagi Shazni yang akan menjadi calon Pakatan Harapan di Johor kali ini, SPR perlu dilihat adil untuk semua parti-parti yang bertanding.

“Persepsi bahawa SPR sentiasa menyebelahi parti pemerintah perlu dihapuskan.

“Lantas dengan menetapkan tarikh yang tidak munasabah untuk pembuangan undi ini, SPR sememangnya mahu mengiyakan persepsi itu atau bagaimana?” kata beliau.

6.5
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 6.0