Malaysia Dateline

Undi tidak percaya kepada PM: Jika Speaker terima, ia akan dibahaskan

Peguam yakin, selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia akan dibahaskan dalam Dewan Rakyat 18 Mei ini walaupun hanya bersidang sehari sahaja.

DR ZULQARNAIN LUQMAN

“Mengenali Mohamad Ariff, saya yakin jika usul ini diterima oleh beliau, bermakna ia akan dibawa ke dalam mesyuarat 18 Mei ini kerana beliau orang yang mengikut undang-undang bukan mengikut kehendak pihak-pihak tertentu.

“Saya juga setuju bahawa usul ini memenuhi tiga ciri utama iaitu perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 18 (2),” kata peguam perlembagaan, Dr Zulqarnain Lukman kepada Malaysia Dateline.

Bagi beliau, usul ini perlu disegerakan kerana ia akan menentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin ini sah atau tidak kerana ia sudah lama dibincangkan oleh rakyat negara ini.

“Rakyat sedang membincangkan keabsahan kerajaan PN ini, inilah jalannya bagi menentukan kerajaan yang ada sah atau tidak,” katanya.

Menurut sumber, Mohamad Ariff menerima usul untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin (Pagoh) yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) untuk dibahaskan dalam sidang 18 Mei ini.

Namun begitu, Mohamad Ariff menolak dua lagi usul iaitu usul percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan Ahli Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Datuk Seri Shafie Apdal (Semporna).

Usul agar Yang Dipertua Dewan Rakyat kekal sehingga dewan yang ada terbubar juga ditolak oleh Mohamad Ariff, kata sumber Dewan Rakyat kepada Malaysia Dateline.

Mohamad Ariff menolak usul itu kerana ia sepatutnya dibuat di bawah Perkara 27 bukannya Perkara 4 sebagaimana yang dinyatakan oleh surat notis usul oleh Tun Dr Mahathir.

Zulqarnain bersetuju bahawa usul percaya kepada Tun Dr Mahathir mempunyai majoriti, sebagaimana yang dibuat oleh Shafie Apdal, tidak boleh dibawa kerana usul percaya sebegini hanya patut dibawa oleh penyokong kerajaan bukan pembangkang.

“Pembangkang hanya boleh bawa usul tidak percaya kepada PM manakala penyokong kerajaan boleh membawa usul percaya kepada PM,” kata Zulqarnain yang mempunyai PhD dalam undang-undang perlembagaan itu.

Namun begitu, Malaysiakini melaporkan, walaupun usul undi tidak percaya diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahaskan dalam Dewan, ia tidak semestinya boleh berlaku jika kerajaan mempunyai usul mereka.

Ini kerana, pada kebiasaannya usul dari kerajaan akan diutamakan oleh Yang Dipertua Dewan.

Tun Dr Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin dalam suratnya pada 4 Mei 2020 lalu.

Menurut surat yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir, usul itu berbunyi “Usul permohonan meminta izin majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.”