Undi tidak percaya Najib: Mahathir akui gagal dapat sokongan 24 wakil rakyat BN

Undi tidak percaya Najib: Mahathir akui gagal dapat sokongan 24 wakil rakyat BN

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa usaha untuk mengenalpasti sekurang-kurang 24 wakil rakyat BN yang sanggup menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menemui kegagalan.

Beliau di dalam blognya semalam menulis,  cara terbaik untuk menukar Kerajaan atau Perdana Menteri ialah dengan undi tidak percaya dalam dewan tetapi perkara ini tidak berlaku dalam usaha penyingkiran Najib.

“Kita semua maklum wakil rakyat BN yang menjadi majoriti dalam dewan sudah mengikat diri dengan Najib untuk tidak menandatangani sebarang deklarasi yang tidak menyokong Najib. Pengakuan oleh Shahrir Samad dan Ahmad Maslan serta kenyataan oleh Dato Nazir, adik Najib, bahawa dia telah diberi wang sebanyak US$ 7 juta untuk diagih kepada pemimpin BN, mengesahkan penerimaan sogokan oleh Najib.

“Percubaan ini gagal kerana walaupun mereka sedar akan kesalahan Najib, tetapi kerana kepentingan diri, kerana takut tindakan seperti yang dilakukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, takut juga kepada lain-lain tindakan oleh Najib, tidak ada yang sanggup menandatangani pengakuan menyingkir Najib.

“Oleh itu undi tidak percaya tidak boleh dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir merayu orang ramai supaya menandatangani Deklarasi Rakyat bagi Selamakan Malaysia yang diterajuinya.

Katanya, sejarah semasa melawan Malayan Union membuktikan bahawa suara rakyat boleh membawa perubahaan.

“Setelah Raja-Raja dipaksa oleh British menandatangani perjanjian menyerah negeri-negeri Melayu kepada mereka, rakyat bangun dan mendesak Raja-Raja supaya tidak menghadiri dan mengiktiraf pelantikan Gabenor bagi Malayan Union.

“Raja-Raja pun tidak hadir. British terpaksa batal rancangan Malayan Union mereka dan menubuh Federation of Malaya pada 1948,” katanya.

Oleh itu, katanya dengan menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib disingkir mungkin tidak berkesan dan perdana menteri tidak akan berundur tetapi Raja-Raja Melayu akan termaklum berkenaan rintihan rakyat.

“Dari peristiwa ini kita boleh buat kesimpulan bahawa suara rakyat ada hikmatnya. Itulah sebab deklarasi rakyat penting,” katanya.

TAGS

COMMENTS