Malaysia Dateline

Undi tidak percaya terhadap PM mainan politik Pas tutup isu berganda

Dakwaan akan adanya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  hanya merupakan salah satu mainan politik Pas untuk mentup isu berganda parti itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, kata Naib Pengerusi III AMANAH Negeri Kedah, Johari Abdullah.

Beliau berkata, isu ini hanya timbul apabila menjelangnya PRK tersebut, sedangkan sebelum ini tidak langsung timbul isu sedemikian.

Johari Abdullah

Malah katanya tidak dapat dinafikan ia merupakan salah satu strategi pembangkang bagi memecahbelahkan kekuatan yang ada dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

“Pas mencuba sedaya mungkin bagi menutup isu berganda yang sedang melanda parti tersebut.

“Ini termasuklah isu dana RM90 juta yang hangat diperkatakan tatkala ini yang turut memberi pelbagai persepsi negatif terhadap Pas dan Umno.

“Apabila ia ditimbulkan ketika menjelangnya PRK Dun Semenyih, tidak dapat dinafikan ia mempunyai beberapa strategi tertentu oleh pihak lawan, ” tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Baling turut berkata, apabila isu ini dibangkitkan pembangkang mengharapkan sokongan pengundi untuk menyokong mereka.

Namun begitu ujarnya, Pas dan Umno seharusnya menyedari bahawa pengundi Dun Semenyih tidak mudah untuk dipengaruhi.

“PRK Dun Semenyih akan mengulangi kemenangan untuk PH.

“Walaupun adanya usaha yang pelbagai termasuklah kerjasama Pas dan Umno, ia tidak sedikit pun menggugat sokongan PH.

“Yang jelas, pengundi Dun Semenyih dapat membuat perbandingan pentadbiran kerajaan Selangor sejak beberapa penggal yang lalu sehingga kini, ” tambah beliau lagi.