Undi umur 18 tahun beri anak muda kuasa besar corak negara, kata Sultan Nazrin

Undi umur 18 tahun beri anak muda kuasa besar corak negara,  kata Sultan Nazrin

Had layak mengundi pada umur 18 tahun bukan sekadar memberi hak kepada golongan remaja, sebaliknya perlu ditafsir sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda mencorak kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

“Penilaian hendaklah diasaskan kepada pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya sentimen serta emosi,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-48, Politeknik Ungu Omar di sini, hari ini.

Seramai 2,270 graduan akan menerima sijil, diploma dan ijazah sepanjang tiga hari istiadat konvokesyen yang bermula hari ini.

Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, sebelum Dewan Negara pula meluluskannya pada 25 Julai.

Titah Sultan Nazrin, anak muda perlu dibimbing agar berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang membina, sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen-elemen wajib dimiliki oleh pemimpin.

“Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

“Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara,” titah baginda.

Mengenai takrifan definisi belia dari umur 15 hingga 30 tahun, Sultan Nazrin bertitah ia merupakan langkah mahu memberikan kepercayaan lebih besar kepada golongan remaja untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan.

Titah baginda, pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 itu boleh ditafsirkan sebagai satu landasan untuk membantu proses mematangkan golongan muda, inovasi demokrasi bagi meningkatkan dan meluaskan penglibatan remaja dalam struktur dan proses membuat keputusan serta menyuarakan pendirian.

“Anak muda wajib menghargai kepercayaan yang dianugerahkan oleh negara ini dengan menunjukkan sikap bertanggungjawab dan sifat kematangan,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat jangan sesekali membenarkan suara perpaduan yang menyatukan warga dirampas (hijack) oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek mereka.

Titah baginda masa hadapan rakyat dan negara, tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama.

Mengenai konvokesyen ke-48 politeknik itu yang kini berusia 50 tahun, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada setiap pihak yang memenuhi amanah dan melaksanakan tanggungjawab secara komited, berdedikasi sehingga mencipta kejayaan membanggakan itu.

Kepada para graduan, baginda bertitah :”Apa pun pilihan yang dilakukan, saudara-saudari merupakan aset penting negara, yang berusia bawah 30 tahun akan terlibat secara langsung memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara serta semakin berperanan penting dalam urusan tatanegara.

“Berpandukan dinamik yang sedang berlaku ketika ini, saudara-saudari akan berperanan lebih signifikan mencorak landskap politik negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan menasihati mereka agar tidak melupakan jasa guru, ibu bapa serta ahli keluarga atas kejayaan dicapai.– BERNAMA