#undi18: Mengangkat inspirasi anak muda dalam sistem demokrasi

#undi18: Mengangkat inspirasi anak muda dalam sistem demokrasi

Buat pertama kalinya, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Usul itu, yang merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan, yang kini menerajui negara, dijangka dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah ia dipersetujui secara sebulat suara oleh kabinet pada September lepas.

Ketika ini, dalam kalangan negara Asean, hanya Malaysia dan Singapura yang masih menetapkan had mengundi pada usia 21 tahun, sedangkan Indonesia misalnya, menetapkan had mengundi pada usia 17 tahun, manakala Argentina, Austria and Brazil pula sudah serendah 16 tahun.

Jadi sudah pasti usaha meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan itu, merupakan suatu langkah besar diambil kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi, berikutan golongan muda dilihat boleh menjadi antara ‘king maker’ dalam menentukan mandat mentadbir negara setiap kali pilihan raya umum.

Dijangkakan, sekiranya usul itu diluluskan, secara kasarnya ia akan memberi pertambahan kira-kira 20 peratus atau 3.7 juta pengundi baharu di negara ini.

Bagaimanapun, perkara pokok yang menjadi topik perbincangan sudah semestinya mengenai, adakah usia 18 tahun itu sudah dikira sebagai matang dalam membuat keputusan, apatah lagi dalam hal melibatkan hala tuju dan masa depan negara, selain tahap literasi politik dan pengetahuan kenegaraan mereka.

Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng berpandangan sejajar dengan trend antarabangsa sedunia yang rata-ratanya menetapkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, langkah diambil kerajaan itu sebenarnya amat bersesuaian dan tepat.

“Sekiranya pada usia 18 tahun mereka boleh sertai parti politik, berkahwin, dapatkan lesen memandu, memohon pinjaman dan terikat dengan kontrak, jadi mengapa mereka tidak boleh mengundi,” kata beliau.

Ooi berpendapat, dalam dunia globalisasi dan maklumat di hujung jari, usia 18 tahun pada zaman ini, adalah berbeza dengan usia 18 tahun berpuluh tahun lalu yang hanya bergantung untuk dapatkan maklumat dari surat khabar, buku, atau media digital lain.

“Mereka akan belajar jadi matang politik dengan cepat, kebimbangan itu boleh diatasi dengan cara pendidikan kewarganegaraan dan kenegaraan,” katanya.

Penganalisis Politik Prof Dr Sivamurugan Pandian pula menjelaskan langkah itu akan membolehkan golongan muda melihat hak mereka untuk mengundi diiktiraf dari awal, sekali gus boleh mencambah pembabitan mereka dalam politik selain menampilkan keupayaan kepimpinan.

“Selepas ini anak muda perlu mengetahui bagaimana mereka memerihalkan kepentingan pilihan raya umum, peri penting pembabitan dan pembuatan keputusan secara rasional, mereka juga perlu pastikan peranan besar tanggungjawab itu dilaksanakan secara bermoral dan berhemah,” katanya.

Bagi mereka yang mahu usia 21 tahun dikekalkan, mereka sudah pasti mempunyai alasan tersendiri, antara lain menganggap usia 18 tahun sebagai masih mentah dan tidak matang dalam berpolitik.

“Masyarakat Malaysia adalah masyarakat timur yang masih tebal dengan ciri budayanya sendiri, mereka yang berusia 18 tahun rata-rata masih tinggal dengan keluarga, dipengaruhi kuat politik keluarga. Mereka juga perlu lebih fokus kepada pendidikan dan kerjaya masing-masing,” kata Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia Dr Mashitah Mohd Udin

Mengupas dari aspek psikologi, usia itu dikategorikan pakar sebenarnya sebagai satu fasa peringkat akhir remaja dan transisi ke alam dewasa.

Pakar Psikologi Prof Dr Mariani Md Nor berkata mereka yang berusia 18 tahun ke atas iaitu di fasa pasca formal, selain boleh membuat keputusan kritikal, sebenarnya boleh berfikir lebih jauh terutama dalam hal membabitkan kesinambungan hidup untuk bangsa, agama dan negara, namun bergantung kepada persekitaran.

Menurut Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971, umur dewasa bagi rakyat Malaysia adalah 18 tahun.

Dari perspektif syariah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat bahawa umur 18 tahun amat sesuai untuk dijadikan sebagai had layak untuk mengundi, kerana sudah mencapai usia mukallaf dan akil baligh.

“Dengan suasana masyarakat Malaysia yang cukup terbuka dewasa ini dengan perkembangan maklumat dan teknologi tinggi, maka pemuda yang sudah diberi sejumlah maklumat dan pengetahuan adalah berkelayakan untuk menjadi pemilih dalam plilihan raya,” katanya.

Apapun yang pasti, sekiranya usul itu diluluskan, ia tentunya membuka suatu lembaran baharu terhadap sejarah politik dan sistem demokrasi di negara ini sejak berdekad yang lalu, selain mengangkat permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira parti politik.