Undi18 mesti dilaksanakan dalam PRN Sarawak, kata Pemuda AMANAH

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemuda AMANAH Sarawak menggesa agar Undi18 dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang dijangka sebaik proklamasi darurat di negeri ini tamat pada 2 Februari tahun depan.

Bagaimanapun menurut Ketua Pemuda AMANAH Sarawak Abu Tariq, ekoran desas-desus menyatakan PRN12 bakal diadakan hujung November nanti, maka kelayakan Undi18 di negeri ini belum dapat dilaksanakan lagi.

Katanya, Pemuda AMANAH Sarawak menyambut baik pelaksanaan Undi18 secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mendapat sokongan Ahli Parlimen dan ini adalah satu kejayaan anak muda sejak usul ini dibawa ke Dewan Rakyat oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

“Dengan pertambahan 5.8 juta pengundi baharu pastinya ini akan memberi impak kepada demografi politik negara.

“Walaupun pelaksanaan ini tertangguh kerana ketakutan politikus tertentu kepada suara anak muda, namun arus deras idealisme, suara dan kekuatan orang muda akhirnya menjayakan agenda ini.

“Justeru polisi, dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan selepas ini haruslah bersifat holistik, menyelesaikan isu terkait anak muda dan meninggalkan kesan yang baik buat negara,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Sehubungan itu, kata Abu Tariq Pemuda AMANAH Sarawak berharap pembubaran Dewan Undangan Ngeri (DUN) Sarawak dilaksanakan selepas tempoh darurat ditamatkan pada 2 Februari 2022 bagi memberi peluang kepada Undi18 dikuatkuasakan.

“Malah, Pemuda AMANAH Sarawak juga mencadangkan agar anak-anak negeri ini yang berada di luar dibenarkan untuk membuang undi secara pos.

“Manakala bagi mereka yang berada di luar daerah diberikan cuti tanpa rekod bagi menunaikan tanggungjawab mengundi kelak,” tegas beliau lagi.