Malaysia Dateline

Undi18: Pemuda MCA turut bantah SPR

Pemuda MCA turut bangkit membantah langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan undi untuk rakyat berumur 18 tahun ke atas hanya akan dimulakan September 2022.

Jurucakap Pemuda MCA, Jacob Lee Yee Yuan dalam kenyataannya berkata, kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu tidak menghormati janji SPR sendiri.

Katanya, sebelum ini Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom pernah berkata, walaupun masih ada Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persiapan untuk Undi18 akan siap menjelang Julai 2021.

“Pengumuman SPR semalam tidak menghormati apa yang mereka kata sendiri,” kata Pemuda MCA.

Ketika dibentangkan di Dewan Rakyat, usul Undi18 mendapat sokongan dua per tiga sokongan dengan seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan.

Susulan itu, SPR juga memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Ini bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun untuk turut mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sebelum ini dijangka akan diadakan selepas pendaftaran 18 tahun selesai.

Bagaimanapun, pendaftaran undi 18 tidak dapat dilaksanakan selepas SPR mengumumkan penangguhannya pada September 2022.