Malaysia Dateline

Undi18 tidak praktikal: Speaker Dewan Negara remehkan anak muda

Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa Undi 18 sebagai tidak praktikal untuk dilaksanakan ketika ini memperlihatkan sikap kerajaan yang cuba meremehkan hak anak muda untuk mengundi.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa, kerajaan takut sekiranya anak muda buat pilihan memilih kerajaan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Kerana itu katanya, anak muda dianak tirikan dan diremehkan hak mereka kerana mereka lebih cekap berfikir dan menerima nilai murni anti rasuah.

“Anak muda sentiasa dipinggir dan diremehkan hak mereka. Dah lulus setahun lebih tapi baru nak bincang cara mendaftarkan (pengundi) 18 tahun.

“Apa guna beratus juta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) beli sistem komputer canggih tapi tak dimanfaatkan kegunaannya.

“Alat canggih tapi pemimpin politik kerajaan pemikiran kuno. Tiada kesungguhan politik untuk melaksanakan undi 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Rais berkata, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.

Katanya, terdapat pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Sementara itu Kamarul yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu berkata, anak muda diberi nilai rendah di antara dua darjat, ditekan dan dihukum, namun yang berkuasa dan berduit pula dilepaskan dari hukuman.

“Contohnya lima anak muda rider Foodpanda disaman RM5,000 ketika tengah makan. Sementara Menteri pula langgar peraturan yang sama tanpa dikenakan tindakan.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut Parlimen bersidang kerana bimbang isu ini bergema di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” ujarnya.