UNGA: Keberanian ‘Si Tua’ 93 Tahun

UNGA: Keberanian ‘Si Tua’ 93 Tahun

(Sebuah catatan pengalaman ringkas dan saksi mata di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), New York)

Hujan lebat di hari-hari awal musim luruh dan penurunan suhu bawah 20°C di New York tidak mampu membendung kehangatan UNGA kali ini.

Saya mula merasai bahang UNGA sejak hari pertama kami tiba ke kota raya ini. Media-media utama memaparkan pertelagahan Presiden Trump dengan Hassan Rouhani. Trump mendakwa Presiden Iran itu kononnya ‘merayu’ mahu bertemu beliau sebelum dimalukan apabila Hassan Rouhani tampil menafikan bahawa Iran tidak pernah meminta sebarang pertemuan dengan Presiden Amerika itu.

Kemudian penampilan awal Trump di UNGA yang dilihat hanya sebagai bahan jenaka di kalangan deligasi. Hassan Rouhani berucap kemudian daripada itu dan turut mendapat perhatian umum.

Selain tokoh Iran itu, kehadiran Tun Mahatir ke UNGA kali ini juga adalah antara yang ditunggu-tunggu. Pada usia 93 tahun, beliau yang mencipta sejarah apabila kembali menerajui kerajaan Malaysia selepas bersama PH berjaya menewaskan BN selepas 60 tahun, menarik perhatian banyak pihak.

Dalam forum awal sebelum berucap di UNGA, Tun M telahpun mendapat perhatian ketika menyatakan pandangan dan pendirian terhadap persoalan dasar luar dengan China, isu keamanan di Laut China Selatan dan Rohingya.

Apatah lagi, kehadiran beliau ke PBB kali ini adalah selepas 15 tahun tampil di pentas dunia itu pada 2003. Lebih kritikal, kali ini dalam suasana ekonomi dan demografi politik dunia yang semakin mencabar.

Tarikh 28 September 2018 mungkin tiada apa-apa bagi sesetengah orang. Di Sulawesi, kita doakan kekuatan buat mereka yang ditimpa gempa serta tsunami sehingga menelan ratusan korban nyawa. Sekali lagi ujian tuhan menjengah kita.

Penulis (dua dari kanan) bersama sebahagian delegasi Malaysia ke Persidangan Agung PBB di New York.

Namun tarikh ini juga punya sejarah tersendiri bagi saya. Saya mungkin antara yang bertuah apabila menjadi sebahagian sejarah negara, terlibat dan bertugas bersama deligasi Malaysia ke UNGA kali ini.

Jujurnya saya hampir menangis melihat susuk sang pemimpin seusia 93 tahun, tampil di pentas dunia dengan lantang mengkritik kezaliman negara kuasa besar dan membela yang tertindas, secara terbuka.

Isu kedaulatan negara Palestin dan penghapusan etnik Rohingya misalnya, secara jelas menggambarkan betapa pemimpin yang pernah digelar ‘Mahafiraun’ oleh sesetengah pihak ini, cukup mengambil berat isu umat Islam dan kemanusian sejagat.

Pagi 28 September, deligasi Malaysia mula bergerak memasuki Dewan Perhimpunan Umum PBB kira-kira jam 9.30 pagi di mana Tun Mahathir dijadual menyampaikan perbahasan pada 11.30 pagi. Sementara itu, beberapa pemimpin negara anggota mengisi slot perbahasan. Keadaan hanya biasa-biasa dan tenang sekadar memenuhi perjalanan acara.

Sehinggalah tiba giliran Tun M pada jam 11.45 pagi. Apabila pengerusi menjemput beliau untuk mengambil pentas, sorakan mula kedengaran. Orang berdiri memberi penghormatan. Bukan sahaja dari deligasi Malaysia tetapi juga dari perwakilan negara-negara anggota.

Saya mula teruja. Satu perasaan yang sukar digambar. Sekalipun berada di tempat duduk bahagian atas dewan dan di belakang, wajahnya yang bersemangat jelas kelihatan di paparan skrin besar dalam dewan.

Satu-persatu isu disentuh beliau. Dewan memberi perhatian penuh. Tepukan mengiringi setiap kali kritik dan saran terhadap isu-isu kritikal dilontarkan. Sekali lagi sorakan gemuruh mengiringi beliau sejurus habis berucap. Deligasi bangun berdiri memberi penghormatan. Perjalanan beliau turun pentas dan keluar dewan dikerumuni pemimpin negara-negara anggota yang lain dan orang ramai.

Ya, akhirnya saya menitiskan air mata. Teruja dan bangga menjadi rakyat Malaysia yang punya pemimpin sepertinya. Begitu besar penghormatan dunia terhadap ‘orang tua’ ini. Tentunya atas kebijakan dan keberanian beliau di pentas dunia. Tidak keterlaluan saya katakan beliau adalah antara arkitek berpengalaman politik dunia yang ada ketika ini.

Apapun tidak lupa untuk saya rakamkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat menjayakan UNGA kali ini khususnya kepada pihak sekretariat Malaysia termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kedutaan Malaysia di Washington, PDRM dan pihak media yang bertungkus lumus bertugas sehingga tidak tidur malam.

Saya menyaksikan kesungguhan, semangat kerjasama dan kebersamaan antara semua yang terlibat.

Dan, terima kasih juga buat seluruh rakyat Malaysia yang telah membuat keputusan pada Mei lalu.

Saya yakin Malaysia akan kembali hebat semula.

29 September 2018
JFK Airport
New York City

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES