Unik! M. Nasir tabur ‘duit raya’ RM10,000 dari bumbung stadium, letak RM1 dalam sampul

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap penyanyi pastinya mahu buat kelainan pada konsert untuk menghargai peminat yang hadir dari pelbagai negeri.

Selalunya peminat membuat kejutan seperti video montaj namun lain pula buat penyanyi legenda tanah air, Datuk M. Nasir.

Menerusi konsert M N45IR Cipta 2, penyanyi berusia 67 tahun itu menerbangkan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000 dari bumbung stadium kepada penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil Sabtu lepas.

Penganjur konsert iaitu Iman Tang mewakili Icon Entertainment memaklumkan mereka menyediakan duit RM1 dalam 10 ribu sampul berserta nota kecil lapor Kosmo! Online.

“Kita sediakan dalam 10 ribu sampul duit raya, setiap daripadanya diisi dengan duit kertas baharu bernilai seringgit.

“Lagu hit Suatu Hari di Hari Raya itu sudah seperti lagu kebangsaan yang saya fikir perlu dibawakan walaupun kita bukan berada di bukan hari raya. Apa salahnya.

“Ada nota juga di sampul itu duit mengingatkan duit seringgit yang diberikan besar nilainya pada 45 tahun yang lalu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Menyambut baik idea penganjur, M. Nasir menganggap apa yang dilakukan pihaknya dan penganjur adalah peluang baik untuk berkongsi rezeki kepada penonton yang hadir.

“Selalunya benda seperti ini saya anggap kelakar sahaja. Tapi di sebalik kelakar, ada makna yang mendalam dari segi persembahan.

“Apa yang dijayakan (malam tadi) juga menunjukkan sikap pemurah dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri penganjur walaupun seringgit,” jelasnya.

Baca juga: Adeline Chang tuntut gaji kakak dibayar, dakwa Auntie Anne’s nak tumpang populariti