Malaysia Dateline

Unimas sumbang10 beg jenazah kepada HUS

Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) turut tampil menyokong barisan hadapan menangani pandemik Covid-19 apabila menyumbang sebanyak 10 beg jenazah kepada Hospital Umum Sarawak (HUS).

Unimas dalam kenyataannya berkata, beg jenazah atau dikenali ‘Body Enclosure for Corpse’ tersebut telah diserahkan pada majlis ringkas di Rumah Universiti Unimas, kelmarin.

Hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim kepada Timbalan Pengarah HUS Dr Hayati Ja’afar.

Wan Hashim berkata, Unimas telah mewujudkan dana Covid-19 dan ia diguna pakai bagi menghasilkan produk-produk terutamanya melibatkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kegunaan petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta.

Beliau menambah, salah satu produk yang dibangunkan ialah ‘Body Enclosure for Corpse’ yang telah dicipta oleh para penyelidik daripada Institut Seni Kreatif dan Teknologi atau dikenali iCreaTe Unimas.

“Produk ini telah dibangunkan sejak 2016 dan setahun kemudian produk sama tetapi versi pertama yang dikenali sebagai ‘Smart Soft Stretcher (3S) telah memenangi tempat kedua pada Anugerah Pengkomersialan Malaysia 2017 bagi kategori Usahawan Sosial,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Hayati berterima kasih kepada Unimas atas sumbangan berkenaan sekali gus banyak membantu HUS memudahkan pengurusan jenazah terutama melibatkan pesakit Covid-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sehingga kini, Unimas juga telah menyerahkan sumbangan lain seperti kotak intubasi, pencuci tangan pembasmi tangan, pelindung muka (face shield), penutup mulut dan hidung bagi membantu para barisan hadapan di HUS.

“Justeru, saya berharap Unimas akan terus memberi kerjasama kepada HUS untuk bersama-sama berusaha menangani pandemik Covid-19 serta lebih banyak lagi agensi lain turut membantu HUS untuk tujuan sama,” ujar Dr Hayati.