Malaysia Dateline

Unimas wakili Sarawak ke Debat Kebangsaan 2019

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul johan pada Pertandingan Debat Kepenggunaan Gerakan Pengguna Siswa Zon Sarawak sekali gus layak mewakili negeri ke Peringkat Kebangsaan 2019 yang bakal berlangsung November nanti.

Dengan kejayaan itu, UNIMAS membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000 berserta piala dan sijil.
Naib johan dimenangi Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak yang membawa pulang wang tunai RM700, piala dan sijil.

Manakala tempat ketiga dan keempat pula milik kita Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dan Politeknik Mukah yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, piala serta sijil dan RM300 serta sijil.

Tiga lagi kumpulan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan, Politeknik Kuching dan Kolej Sidma Sarawak masing-masing menerima sagu hati berupa wang tunai RM200 dan sijil penyertaan

Pertandingan tersebut adalah brrsempena dengan sambutan Hari Pengguna Peringkat Kebangsaan yang bertujuan menggalakkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya tanggungjawab pengguna dalam sistem ekonomi negara.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Stanley Tan berkata, penganjuran pertandingan adalah sempena Karnival Mini Kepenggunaan 2019 Zon Sarawak yang mana merupakan KPI baharu kementerian.

Katanya, tema pada tahun ini adalah ‘Trusted Smart Product’ yang memberi tumpuan kepada kesan perkembangan teknologi semasa terhadap pengguna seluruh dunia sejajar dengan perkembangan ‘Internet of Things’ (IoT) dan Revolusi Industri.

“Antara pengisian karnival pada tahun ini ialah pertandingan ‘choral speaking’, sketsa kepenggunaan, debat dan pelbagai lagi.

“Pertandingan seperti ini adalah satu cara yang baik bagi meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan mahasiswa dan yakin melalui perdebatan yang telah dibahaskan selama dua hari, telah memberi banyak ilmu dan pendedahan yang bersifat kepenggunaan kepada semua peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Ketua Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Sarawak Zulkipli Saidi pada Majlis Penutupan yang dilangsungkan  di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuching semalam.