Malaysia Dateline

Uninstall kebencian dan Reboot

Hussamudin Yaacob, pemilik syarikat media Karangkraf telah mengemukakan satu gagasan yang sesuai pada waktu dan suasana ini. Dengan menggunakan istilah penggunaan komputer, beliau anjurkan uninstall kebencian dan reboot.

Ini adalah kerana minda masyarakat kita adalah seperti program komputer di mana telah secara halus ada anasir yang install kebencian. Maknanya sejak bertukar kerajaan, ada pihak yang menggunakan pelbagai isu perkauman dan agama untuk provokasi. Tujuannya adalah untuk menimbulkan rasa puas hati terhadap kerajaan. Cara mereka adalah menyemai kebencian dalam minda masyarakat. Dalam erti kata lain, install kebencian.

Pada asalnya, tidak wujud kebencian. Dengan ada asasnya pada Rukun Negara, masyarakat Malaysia faham bahawa semua rakyat negara ini adalah berbilang kaum dan agama. Muhibah dan keharmonian hubungan kaum dan agama adalah kemestian. Sentimen kebencian hanya diapi-apikan untuk kepentingan politik. Apa saja perkembangan yang berlaku dikaitkan dengan kaum dan agama. Maka ada kalanya ia disambut oleh kaum yang lagi satu, hingga bertambah merebak kebencian.

Menambah buruk keadaan ini ialah adanya teknologi maklumat khususnya melalui media sosial. Kumpulan-kumpulan WhatsApp umpamanya lebih kerap menyebarkan kebencian ini. Tetapi bukan saja posting dalam Facebook dan Twitter yang menyebarkan kebencian, lebih buruk lagi komen-komen dari pelbagai pihak, tidak kira kaum dan agama.

Ternyata kebencian ini disebar tanpa perasaan tanggungjawab. Mereka berasakan kaum dan agama mereka yang ada pada kebenaran. Mereka berasakan hak kaum dan agama mereka tercabar dan menjadi mangsa. Berbalas-balas serangan ini hanya menimbulkan kebencian yang melumpuhkan negara. Mereka tidak berasa tidak bertanggungjawab terhadap keharmonian negara. Maka ia seolah-olah minda mereka telah diprogram dengan kebencian. Jadi apa yang diperlukan ialah program ini mesti dilakukan uninstall. Inilah yang disebut sebagai uninstall kebencian.

Bagaimanakah caranya untuk uninstall? Kalau terhadap komputer, apa yang diperlukan adalah reboot. Padamkan suis dan hidupkan kembali. Supaya kebencian yang ada dapat dipadamkan. Kemudian minda masyarakat dilakukan reboot supaya kebencian itu hilang. Fokus adalah pada tanggungjawab, dan bukannya hak. Semua akan kehilangan jika tiada tanggungjawab.

Sememangnya akan sentiasa ada orang yang hatinya sakit dan kebencian untuk disebarkan kepada orang lain. Maka untuk melawan mereka, setiap orang yang sedar tentang tanggungjawab untuk memelihara keharmonian hubungan kaum akan menyebar muhibah. Bukan saja pada posting-posting mereka di media sosial, terutamanya kumpulan-kumpulan WhatsApp tetapi juga dalam komen-komen dalam menjawab kata-kata kebencian.

Pertamanya, seseorang jangan sekali-kali menyebar posting atau komen kebencian. Lebih baik lagi jika dapat melawan mereka yang menyebar kebencian ini. Bagi yang menjadi admin kumpulan WhatsApp, mereka perlu halang sebarang posting yang menyemai kebencian kaum. inilah yang disebut sebagai uninstall kebencian.

Bagi reboot pula, usahlah melayan orang yang suka menyemai kebencian dan menabur benih-benih pergaduhan. Hati-hati yang sakit ini perlu di-unfriend dan di-unfollow. Oleh kerana suasana kebencian ini dipacu oleh media sosial, maka adalah tanggungjawab rakyat yang sedar terhadap bahaya kebencian ini untuk reboot keseluruhan sistem wadah penyebaran kebencian ini.

Di peringkat masyarakat juga adalah penting. Perbualan-perbualan dengan ahli keluarga dan kawan-kawan. Sama ada di kedai kopi, masjid atau rumah. Sememanglah lebih seronok untuk menyemai kebencian terhadap kaum dan agama lain. Dengan menyebarkan kebencian, ia menjadikan seseorang itu berperasaan mulia. Tetapi sifat tidak tanggungjawab ini akan akhirnya merosakkan masyarakat. Sebab itu perlunya reboot. Bukan saja reboot di peringkat media sosial, tetapi juga dalam kehidupan masyarakat.