Unit ARK Holdings akan bangunkan projek bersepadu RM600 juta

Unit ARK Holdings akan bangunkan projek bersepadu RM600 juta

Unit ARK Resources Holdings Bhd (ARK Holdings), ARK Resources Bhd (ARB), akan melaksanakan pembangunan bersepadu pelbagai fasa dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM600 juta susulan perjanjian pembangunan usaha samanya dengan Koperasi Kampung Melayu Balik Pulau Bhd (KKMBPB).

Menurut kenyataan ARK Holdings kepada Bursa Malaysia hari ini, pembangunan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan di kawasan luas 36.38 hektar di daerah barat daya Pulau Pinang yang dimiliki KKMBPB.

Projek itu akan merangkumi antara lain, 276 unit rumah teres dua tingkat; 214 unit rumah berkembar dua tingkat; 91 unit banglo dua tingkat; dua blok masing-masing bagi kondominium dan pangsapuri kos rendah; kedai runcit; bazar; ruang terbuka; sekolah; masjid dan dewan komuniti.

ARK Holdings berkata KKMBPB dan ARB telah bersetuju bagi nisbah kelayakan perkongsian 20:80 ke atas NPK itu.

Ia berkata daripada kelayakan RM120 juta yang akan dibayar kepada KKMBPB, RM45 juta akan dijelaskan secara tunai manakala bakinya RM75 juta akan dibayar dalam bentuk unit, bidang, plot, lot komponen pembangunan atau 20 peratus daripada NPK tolak bayaran tunai, yang mana lebih tinggi.

ARK Holdings berkata pembangunan itu akan dibiayai melalui dana dalaman atau/dan pinjaman bank.

Projek itu dijangka memperkukuh perniagaan teras syarikat dalam pembangunan hartanah sejajar dengan strateginya untuk mencari kawasan lebih strategik.

Pembangunan itu juga dijangka menjana aliran pendapatan lebih baik bagi jangka panjang.

— BERNAMA