Unit Genting akan kumpul US$775 juta melalui nota senior 20 tahun

Unit Genting akan kumpul US$775 juta melalui nota senior 20 tahun

Anak syarikat 57.89 peratus milik tidak langsung Genting Bhd, LLPL Capital Pte Ltd, telah memuktamadkan proses penentuan dan menetapkan harga bagi tawaran nota senior bercagar US$775 juta (US$1=RM4.11) dengan jaminan 6.875 peratus dan akan matang pada 2039.

Menurut Genting, nota tersebut akan ditawarkan dan dijual kepada pembeli institusi yang layak di Amerika Syarikat (AS) tertakluk kepada Peraturan 144A, dan di luar AS mengikut Peraturan S, berdasarkan Akta Sekuriti AS 1933.

Ia berkata, nota tersebut adalah tidak bercagar dan tidak boleh ubah dijamin oleh anak syarikat 55 peratus milik tidak langsungnya, PT Bestari Lestari Banten Energi.

Moody’s Investors Service Pte Ltd dan Fitch Ratings Ltd telah memberi penarafan masing-masing Baa3 dan BBB-, kepada nota yang dicadangkan itu.

Menurut Genting, Citigroup Global Markets Singapore Pte Ltd merupakan penasihat kewangan tunggal bagi tawaran tersebut manakala Citigroup Global Markets Singapore Pte Ltd dan Barclays Bank Plc, cawangan Singapura adalah penyelaras global bersama.

“Citigroup Global Markets Singapore Pte Ltd, Barclays Bank Plc cawangan Singapura dan CIMB Bank Bhd cawangan Labuan merupakan pengurus utama bersama dan penyelaras bersama.

“SMBC Nikko Capital Markets Ltd pula adalah pengurus bersama bagi tawaran itu. Nota tersebut dijangka disenaraikan di Singapore Exchange Securities Trading Ltd pada atau sekitar 7 Feb, 2019,” menurut Genting.

— BERNAMA