Malaysia Dateline

Unit Kerjaya Prospek raih kontrak pembinaan bernilai RM155 juta

Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, meraih kontrak pembinaan bernilai RM155 juta daripada Aspen Entity Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi cadangan projek pembangunan di Cyberjaya, Selangor.

Kontrak itu yang pertama kali diperoleh tahun ini melibatkan pembinaan dua blok suite perkhidmatan 11 tingkat di atas podium kereta lima tingkat serta kawasan sepunya dan kemudahan di dua lagi aras.

Ia turut merangkumi sebuah blok suite perkhidmatan 25 tingkat di atas podium kereta lima tingkat selain dua aras untuk kawasan sepunya dan kemudahan.

“Kontrak baharu ini meningkatkan nilai perolehan kontrak yang belum disiapkan kepada kira-kira RM3.1 bilion setakat ini,” kata Pengerusi Eksekutif Kerjaya Prospek Datuk Tee Eng Ho dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula 1 Mac, 2019 dan mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

— BERNAMA