Malaysia Dateline

Unit tidak langsung AirAsia jual Merah Aviation pada harga RM3.22 bilion

Anak syarikat milik penuh tidak langsung AirAsia Group Bhd, Asia Aviation Capital Ltd (AACL) menjual Merah Aviation Asset Holding Ltd kepada AS Air Lease Holdings 5T DAC, entiti yang dikawal tidak langsung oleh Castlelake LP, pada harga US$768 juta (US$1=RM4.1830).

AirAsia, dalam satu kenyataan menyebut, pihak berkenaan mengadakan perjanjian jual beli hari ini.

Sebagai tambahan, Castlelake juga akan membeli daripada AACL empat pesawat A320-200ceo baharu yang akan dihantar pada 2019.

Menurut syarikat itu, 25 pesawat sedia ada meliputi A320-200ceo dan A320neo, di bawah Merah Aviation, selain empat pesawat baharu akan dipajak semula kepada AirAsia Bhd dan/atau sekutunya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata penjualan itu akan memberikan nilai yang besar kepada kumpulan berkenaan.

“Beberapa tahun lalu, penganalisa mengkritik kami kerana mempunyai tahap kadar hutang yang tinggi dan mempunyai aset. Sekarang ramai yang faham mengapa kami melakukannya. Dalam masa beberapa tahun, strategi digital kami akan dapat difahami dengan baik,” tambahnya.

— BERNAMA