Uniti dan Perpaduan

Uniti dan Perpaduan

‘Uniti dan Perpaduan’ ianya hanya satu perbezaan dalam penggunaan bahasa dalam menyampaikan. Dan setiap perbezaan penggunaan bahasa sama sekali tidak mencerminkan pepecahan kaum mahupun diskriminasi dikalangan berbilang anutan Agama dan Bangsa di Negara kita.

Dari sekecil kecilnya patung dewa dewa yang mengisi bukit sejak 1892 sehingga setinggi tingginya patung dewa Muruga bersalut emas yang disergam indah disisi bukitnya, sehinggalah ke Sambutan Perayaan Thaipusam secara besar besaran yang dikawal rapi oleh pihak berkuasa berseragam, dilengkapi dengan penutupan jalanraya awam semata mata dikhaskan untuk menyambut perayaan bagi penganut agama Hindu yang sekaligus menjadi perhatian Pelancong seluruh dunia.

Tidak dilupakan juga bilangan kuil kuil bagi penganut agama Buddha sehinggakan ke bilangan gereja gereja yang dibina bertatahkan salib dan juga sebesar besarnya Masjid yang didirikan disetiap pelusuk muka bumi di Negara ini bagi mereka yang beragama Islam.

Pusat pusat pendidikan dan sekolah sekolah Tamil, Cina dan juga Madrasah yang mana kewujudannya tidak pernah dipertikai, malahan disalur bantuan yang sewajarnya oleh pihak pihak yang berwajib terutamanya Kerajaan dalam memastikan sistem edukasi di Negara kita ditahap yang memuaskan bagi menjamin masa depan anak anak.

Perpaduan kaum itu penting demi memastikan Negara terus berada dalam harmoni dan hidup aman damai tanpa sebarang unsur yang menjadi peracun fikiran Rakyat dan kita perlu akui bahawa usaha dalam meningkatkan perpaduan Rakyat dikalangan berbilang Bangsa dan Agama telah dipraktikan di Negara kita sejak dahulu lagi.

Apabila kita menyebut tentang Perpaduan, harus diingat bahawa setiap yang menyatukan itu juga ada elemen pemecahnya dan elemen ini dihasilkan oleh segelintir yang pada mereka segalanya tidak mencukupi.

Anak anak memerhati amalan kedua Ibu Bapa dan keluarga manakala golongan remaja memerhati sikap di sekeliling mereka. Dari amalan seharian mahupun kepercayaan yang diadaptasi, jika kita mahukan perubahan, tentukan perubahan itu tidak memudharatkan justeru setiap perubahan itu perlu dilakukan atas niat yang mana tidak menghasilkan sebarang diskriminasi yang mampu membawa kepada pepecahan diantara kaum.

Kita dewasa, merdekanya kita berpuluh tahun, tumbangnya Kerajaan Kleptrokasi telahpun menjadi kenyataan maka bertukarlah segala paras rupa pemerintah yang mengisi jawatan jawatan didalam Kerajaan bagi memastikan Rakyat yang dahulunya ditindas mendapat pembelaan yang terbaik dan usaha kearah memastikannya usaha ini terus subur adalah jauh lebih penting.

Kita juga tidak harus lupa, bahawa Raja Raja Melayu bersetuju untuk Malaysia melaksanakan Kerajaan pemerintahan Rakyat atas Sistem Demokrasi Raja Berpelembagaan dan usah dilupa bahawa pemerintahan dijalankan melalui sistem yang tersedia ada dengan kewujudan Kakitangan Kerajaan yang mengetuainya.

Memahami Rukun Negara

Negara ini Negara kita, dimana Agama rasminya adalah Agama Islam dan sistem Demokrasinya diamalkan tidak sepatah menyatakan diskriminasi terhadap berbilang kaum, Bangsa dan Agama.

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena hari kemerdekaan yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV.

Ingin saya tekankan disini bahawa Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum.

Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian dimana Bahagian Pertamanya adalah menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk yakni

1) Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,

2) Memelihara satu cara hidup demokratik

3) Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

4) Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan

5) Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bahagian keduanya pula menggariskan Lima Prinsip Rukun Negara yang jelas menyebut

• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Kita sebagai Rakyat Malaysia sama sama perlu mencapai persefahaman demi menjaga keamanan dan keharmonian sesama kita dan demi Negara yang Merdeka. Sekian.

* Penulis adalah Exco Armada Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Segambut