Malaysia Dateline

Universiti awam cipta sejarah baru benar parti pembangkang berforum

Tidak pernah berlaku pada era kerajaan BN sebelum ini pemimpin parti politik pembangkang dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang program rasmi anjuran universiti awam (UA).

Namun, berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pemimpin Umno dan Pas tidak dihalang menjadi antara ahli panel dalam forum di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) semalam.

Slot Forum Orang Muda bertajuk “Malaysia Baharu: Apa Kata Orang Muda?” di Auditorium Perpustakaan UA itu menyaksikan kehadiran Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Seorang lagi ahli panel daripada kerajaan iaitu Ketua Pemuda Harapan Terengganu yang juga Ketua Pemuda AMANAH negeri, Hasbie Muda.

Beliau merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.