Malaysia Dateline

Universiti bukan tempat untuk samseng, kata Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melahirkan rasa sedih, kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM) siang tadi.

Beliau berkata, universiti ialah medan intelektual terbuka, ia juga adalah medan untuk berbincang, berdebat berwacana dan berforum secara aman.

Katanya, universiti bukan tempat untuk samseng, pelampau dan pengganas.

“Untuk anak mahasiswa jangan malu ada beban tanggungjawab yang harus kita pikul untuk masyarakat. Kita harus terus ke depan melawan kebobrokan dan menyatakan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap pihak berkuasa harus mengambil tindakan jika terdapat unsur jenayah di dalam insiden yang berlaku petang tadi.

“Lebih-lebih lagi ia merosakkan nilai budi dan norma masyarakat kita yang terkenal dengan kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Ini kerana beliau dimaklumkan kejadian program sembang santai berkenaan dicemari insiden pergelutan antara penyokong tersebut dengan pelajar universiti.

Petang tadi, program sembang santai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mahasiswa Universiti Malaya (UM) diadakan di Restoran Amjal menjadi kecoh apabila penyokong Najib dikatakan menyerang sekumpulan mahasiswa kerana tidak berpuas hati.

Ini kerana kumpulan mahasiswa terbabit dilihat berarak membawa karikatur Najib berunsur jenaka dan kertas yang bertulis ‘Mana RM2.6 bilion?’, ‘Tangkap Najib’ dan ‘Najib Tak Malu’.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati, terdapat kira-kira 40 orang menghadiri sesi pertemuan itu, yang bermula kira-kira jam 2.30 petang dan kebanyakannya adalah pelajar.