Universiti Fatoni contoh universiti wakaf boleh dilaksanakan di Malaysia

Universiti Fatoni contoh universiti wakaf boleh dilaksanakan di Malaysia

Malaysia boleh mencontohi Universiti Fatoni untuk menubuhkan universiti atas konsep sumbangan atau niat wakaf, kata Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Universiti Fatoni yang terletak dalam wilayah Pattani bersempadan dengan wilayah Yala, menerima wakaf daripada masyarakat Islam seluruh dunia khususnya dari negara Islam di Asia Barat sehingga berjaya didirikan.

Kamaruddin berkata model Universiti Fatoni sesuai dilaksanakan di Malaysia selain konsep wakaf dapat menyelesaikan sebahagian masalah umat Islam Malaysia.

“Ramai umat Islam hendak menuntut ilmu di universiti dan saya yakin umat Islam Malaysia akan ikhlas memberi sumbangan atau mewakafkan harta mereka untuk mendapat keredaan Allah SWT.

“Perkara ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Fatoni dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Patani.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan pemeteraian MOU yang berlangsung di Universiti Fatoni.

Universiti Fatoni diwakili Rektornya Prof Dr Ismail Lufti manakala KUIPs oleh Rektornya, Dr Mohammad Mizan Mohammad Aslam.

Menurut Ismail, tapak universiti seluas kira-kira 58 hektar merupakan wakaf masyarakat Islam Pattani manakala bangunannya dibina hasil wakaf umat Islam seluruh dunia khususnya, dari kerajaan negara Arab.

Katanya, tenaga pengajar juga ikhlas mengajar dan ‘gaji’ yang diberi tidak setimpal dengan sumbangan mereka untuk menghidupkan universiti berkenaan yang menawarkan pengajian berkaitan Islam, sains sosial, teknologi dan pendidikan.

Sementara itu, Mohammad Mizan berkata kerjasama strategik berkenaan akan memberi peluang kepada KUIPs untuk menimba kepakaran Universiti Fatoni dalam pengurusan wakaf yang akan memantapkan lagi bidang pengajian yang ditawarkannya.

“Di samping bertukar staf, menganjur seminar dan menghasilkan jurnal, KUIPs boleh menggunakan hubungan baik Universiti Fatoni dengan negara Islam di Timur Tengah untuk mengembangkan sayapnya,” katanya.

Katanya, KUIPs dan Universiti Fatoni juga bersetuju untuk menganjur seminar Warisan Nabawi (SWAN 2016) seperti Asia University Summer Camp di Perlis, pada Jun tahun ini.

Pada majlis MoU berkenaan, Rektor Universitas Ubudiah Indonesia (UUI), Acheh, Ibu Maniarti M. Kes turut menandatangani Surat Hasrat (LoI) dengan Universiti Fatoni yang diwakili Ismail untuk bekerjasama memantapkan pengajian Islam di UUI.

TAGS